Dah Demam Selama 3 Hari, Ayah Temui Ajal Dalam Kereta Sementara Tunggu Anak Habis Temuduga
Allahu, sedihnya...
Seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikenali sebagai Mustafa Ariffin telah meninggal dunia di dalam kereta ketika menunggu anak perempuannya selesai sesi temuduga
Kejadian dilaporkan telah berlaku pada jam 10:30 pagi hari ini, 5 Februari 2020 di tempat parkir berhadapan Wisma Persekutuan di Alor Setar, Kedah.
Menurut Berita Harian, arwah dikatakan meninggal seorang diri di dalam kereta jenis Proton Wira sementara menunggu anak perempuannya selesai sesi temuduga. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan oleh orang awam yang pada ketika itu ternampak mangsa dalam keadaan mencurigakan.
Ketika kejadian, isteri mangsa tiada bersama kerana turut pergi menemani anak perempuan mereka menghadiri sesi temuduga di tingkat atas bangunan kerajaan itu.
"Tak sangka pula ajalnya sampai ketika sedang menunggu anak perempuannya selesai temuduga." - Mohd Ali Ahmad, 55, sepupu mangsa.
Mohd Ali menjelaskan bahawa sepupunya itu tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, malah sentiasa kelihatan sihat.
Berita yang diberitahu oleh anak mangsa begitu mengejutkan dirinya lalu terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati jenazah mangsa masih berada di dalam kereta tersebut.
“Mereka menetap di Kampung Teloi, Kuala Ketil dekat Baling, bertolak ke sini sejak pagi tadi dan kereta berkenaan dipandu anak mangsa,” jelas Mohd Ali.
Mohd Ali turut berkata bahawa kali terakhir dia berjumpa dengan arwah adalah pada bulan Disember tahu lalu di majlis perkahwinan anaknya
"Ketika itu arwah banyak bergurau ketika berbual dan kelihatan ceria. Mungkin ajalnya dah sampai, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," tambahnya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.