Daripada Cashier Gaji RM2,100, Wanita Kongsi Jadi Area Manager Bergaji RM9,000
Hakikatnya, bukan senang nak senang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Perjalanan kerjaya seorang wanita tempatan dalam industri peruncitan dan makanan serta minuman (F&B) menarik perhatian ramai selepas dia berkongsi koleksi tag nama daripada pekerjaan yang pernah disandangnya sejak 2018
Perkongsian Bunga, 37, di Threads itu memaparkan tujuh tag nama daripada lima syarikat berbeza dan telah menerima lebih 10,900 tanda suka.
"Setiap company ada ceritanya. Syukur dengan setiap pengalaman," katanya.
Menurut Bunga, dia pernah bermula sebagai juruwang di sebuah pusat beli-belah AEON sebelum serius membina kerjaya dalam bidang peruncitan dan F&B.

Langkah pertamanya bermula pada 2018 apabila dia menyertai FamilyMart sebagai penyelia kedai dengan gaji permulaan RM2,100.
Dia kemudiannya berpindah ke Elews Mart pada 2020 sebelum meneruskan kerjaya di Ayam Gepuk Pak Gembus sehingga 2022.
Pada tahun sama, Bunga menyertai ZUS Coffee menerusi program latihan selama enam bulan dan kekal bersama syarikat berkenaan selama dua tahun Jawatan terakhirnya ketika itu ialah pengurus outlet.
Kini bertanggungjawab selia lebih 20 outlet
Pada 2024, Bunga mengambil langkah seterusnya apabila menyertai CHAGEE sebagai pengurus kawasan dengan gaji RM9,000 sebulan.
Dalam jawatan tersebut, dia kini bertanggungjawab memantau prestasi dan operasi lebih 20 outlet.
Baginya, perkembangan dalam industri F&B bukan sekadar mengenai berapa banyak syarikat yang pernah disertai, tetapi turut bergantung kepada ilmu, kemahiran dan pencapaian yang dikumpulkan sepanjang bekerja.
"Pengetahuan tentang F&B itu sendiri dan pencapaian sepanjang tempoh bekerja dalam industri ini sangat penting," katanya kepada SAYS.

Bunga menjelaskan bahawa antara perkara yang biasanya diberi perhatian oleh bakal majikan ialah laporan audit, pemahaman terhadap prosedur operasi standard (SOP), kemahiran mengurus pekerja serta keupayaan menyelesaikan masalah di outlet dan melayan pelanggan.
"Sama ada sesebuah outlet itu mempunyai jualan tinggi atau tidak, anda perlu tahu cara mengurus kakitangan dan menyelesaikan masalah outlet," katanya.
Sebagai pengurus kawasan, tanggungjawabnya kini bukan lagi tertumpu kepada sebuah outlet sahaja
Dia perlu memastikan pengurus di bawah seliaannya memahami tugasan masing-masing selain memastikan operasi di lebih 20 outlet berjalan dengan konsisten.
Malah, tugas itu turut memerlukan Bunga kerap melakukan perjalanan untuk memantau sendiri outlet yang berada di bawah tanggungjawabnya.
"Saya jenis yang perlu pergi sendiri ke outlet sebelum saya berpuas hati," katanya.
Walaupun sudah mencapai kedudukan tersebut selepas bertahun-tahun membina pengalaman, Bunga menganggap perjalanan kerjayanya masih belum berakhir.
"Untuk mengatakan saya sudah berjaya, masih terlalu awal. Tetapi usaha untuk sampai ke tahap ini sememangnya bukan mudah. Banyak perkara yang perlu kita tahu dan pelajari," katanya.
Lihat perkongsian di bawah:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via