Demi Jaminan Masa Depan Mereka, Ini 4 Tempat Terbaik Untuk Simpan Duit Raya Anak Anda
Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Amalan pemberian duit raya seakan-akan menjadi kemestian setiap kali menjelang hari raya hingga ramai yang menganggap ia satu kewajipan
Ramai yang menganggap duit raya sebagai sedekah dan mungkin segelintir dari kita yang tidak menafikan amalan ini adalah ikut-ikutan kerana dipraktikkan sejak zaman-berzaman.
Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan juga kanak-kanak akan menerima duit raya daripada orang yang lebih dewasa.
Tidak kira jumlah duit raya itu banyak atau sedikit, ibu-bapalah yang pada akhirnya akan bertindak sebagai pemegang amanah duit raya anak mereka.
Ibu bapa perlu memberi pendidikan kewangan kepada anak sejak kecil lagi dengan mengajar mereka membuat simpanan wang dengan duit raya yang mereka perolehi.
Malah, melalui simpanan wang ini juga boleh menjadi aset dan hadiah terbaik daripada kita untuk masa depan anak
Selain boleh digunakan di saat kecemasan, ia juga boleh digunakan ketika anak menyambung pelajaran di universiti, melangsungkan perkahwinan, atau sebagai duit deposit rumah pertama mereka.
Jadi, lebih baik anda simpan semua duit raya anak itu untuk keperluan akan datang. Betul tak?
Tapi di mana nak simpan ya? Jangan risau ibu bapa semua, ada caranya!
Baru-baru ini, melalui perkongsian Nazmie Samarahan di Facebook ada menceritakan bagaimana hendak menguruskan aliran tunai duit raya anak-anak kita sebagai tabung pendidikan dan masa hadapan mereka.
Berikut adalah empat tempat terbaik yang ada untuk menyimpan duit raya anak anda:
1) Akaun Simpanan-i atau Tabung Haji
Walaupun menyimpan dalam akaun simpanan ini tidak memberi banyak keuntungan, tetapi sekurang-kurangnya Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) bagi perlindungan.
Jadi bank bankrap pun tak perlu risau. Katakanlah setahun simpan RM500, lepas 18 tahun nanti bila nak masuk universiti dah ada RM9,000. Ok la kan, siapa nak bagi?
2) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)
Sambil menyimpan untuk anak, sambil dapat pelepasan cukai pendapatan. Tambahan lagi dapat dividen.
Dalam 3% pun dah ok. Kalau simpan RM500 setahun untuk anak-anak, lepas 18 tahun ada RM12,000. Wow!
3) Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Yang ini biasa orang buat. Simpan ASB. Tak payah cerita semua orang tahu ada dividen. Tapi dividennya tak ada lah banyak sangat.
Jika anggaran dividen 5%, simpan RM500 setahun, lepas 18 tahun boleh dapat RM14,700. Banyak jugak kan?
4) Unit Amanah atau Unit Trust (UT)
Yang Ini jarang orang buat atau tak tahu. Boleh je buat akaun UT untuk anak. Buat joint account. Antara semua tempat simpan, ni paling best. Anggaran keuntungan agak tinggi berbanding cara simpan yang lain-lain tu.
Cuba anggarkan keuntungan 8% setahun, kalau simpan untuk anak-anak RM500 setahun, lepas 18 tahun boleh dapat RM20,200. Subhanallah! Banyaknya.
Untuk makluman semua, ini jika semata-mata duit raya, bayangkan mak dan ayah buat potongan bulanan untuk tabungan anak-anak, tak kiralah RM10, RM30 mahupun RM50 dan semuanya berlangsung selama 18 tahun. Sudah tentu jumlahnya akan berbeza.
Jadi, mak dan ayah tunggu apa lagi! Cepat buka simpanan untuk mereka, jangan sampai terguna pula duit raya itu ya :)
Jangan lupa untuk sebarkan artikel ini untuk manfaat bersama!