Kanak-Kanak 12 Tahun Ini Curi Kad Kredit & Terbang Solo Ke Bali Sebab Gaduh Dengan Parents
Dia berjaya menipu neneknya untuk memberikannya pasport.
Seorang kanak-kanak 12 tahun dari Australia bertindak untuk "lari" dari rumah dengan cara yang agak next-level: curi kad kredit ibu bapanya dan beli tiket penerbangan ke Bali
Selepas berbalah dengan ibunya, kanak-kanak lelaki warganegara Australia tersebut yang dikenali dengan nama Drew bertindak mencuri kad kredit dan melancong seorang diri ke Bali.
Menurut The Guardian, dia membeli tiket penerbangan yang membolehkan kanak-kanak 12 tahun untuk terbang tanpa pengawasan orang dewasa.
Dia juga sempat menempah bilik hotel untuk percutiannya itu dan berjaya menipu neneknya untuk memberikannya pasport.
Dia memberitahu keluarganya bahawa dia pergi ke sekolah lalu menaiki kereta api di stesen berdekatan untuk ke lapangan terbang, kemudian mengambil penerbangan ke Perth, dan seterusnya ke Bali
Ketika di lapangan terbang, Drew hanya disoal oleh pekerja lapangan terbang untuk mengesahkan umurnya.
"Mereka hanya mahu melihat kad pelajar serta pasport untuk mengesahkan yang saya berumur 12 tahun serta masih bersekolah," katanya.
"Ia merupakan sesuatu yang menakjubkan kerana saya sentiasa mahukan sebuah pengembaraan," menurutnya lagi.
Ketika tiba di Bali, Drew mendaftar masuk di Hotel All Seasons dan memberitahu pekerja hotel tersebut bahawa kakaknya juga akan turut serta
Drew kemudiannya didapati tidak hadir ke sekolah dan hanya pada masa itu keluarganya memulakan pencarian anak lelaki mereka itu.
Selepas mendapat tahu Drew berada di Bali, ibunya, Emma segera terbang ke Bali untuk mengambilnya pulang
"Terkejut, marah, dan tiada emosi yang boleh kami huraikan ketika kami mendapati dia bercuti seorang diri ke luar negara," kata Emma ketika ditanya bagaimana perasaannya tentang pengembaraan anak lelakinya itu.
"Drew sangat benci mendengar perkataan 'no'," tambahnya lagi.