#DuitRayaMovement, Trend Beri Duit Raya Pada Yang Bekerja Di Hari Raya Jadi Ikutan Ramai!
Trend macam inilah yang harus dijadikan ikutan ramai.
Kita disarankan untuk memperbanyakan membuat amal ibadah sepanjang bulan Ramadan
Ini kerana istimewanya bulan Ramadan ialah terdapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta keampunan Allah SWT yang terbuka luas, menjadikan bulan tersebut dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia.
Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Apabila Ramadan tiba, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu."
Oleh yang demikian, sangat rugi sekiranya ada yang tidak berusaha untuk merebut peluang terbuka dengan melipatgandakan dan mempelbagaikan bentuk amalan setiap kali bulan Ramadan.
Walau bagaimanapun, membuat kebaikan janganlah terhenti sebaik selesai bulan Ramadan tetapi wajar diteruskan sepanjang masa
Bahkan, pada bulan Syawal ini sahaja, terdapat beberapa insan berhati mulia yang telah memulakan kempen #DuitRayaMovement yang mana kempen itersebut bertujuan untuk menyebarkan kebaikan dengan memberi duit raya kepada mereka yang penat bekerja lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.
Semuanya bermula daripada pengguna Twitter @amin_jamean yang berkongsikan satu video berdurasi 10 saat memaparkan dia menghulurkan sampul duit Raya kepada seorang barista di sebuah kedai kopi terkenal.
Dalam video itu, jelas menunjukkan keseronokan barista tersebut selepas menerima sampul itu. Menurut Amin lagi, dia turut menghulurkan duit raya kepada pekerja tol serta 'pak guard' yang ditemuinya.
Bukan setakat duit Raya, malahan Amin turut memberi kuih Raya dalam kempen yang dimulakannya itu. Pemuda itu turut menggalakkan orang ramai untuk membuat perkara yang sama sambil menggunakan hashtag #DuitRayaMovement.
Siapa sangka, kempen ini telah menjadi ikutan ramai!
Perasaan seronok menjadi berlipat ganda tatkala kegembiraan menyambut bulan Syawal ini dikongsi bersama orang ramai.
Rata-rata netizen berkongsikan cerita masing-masing, baik dalam bentuk tulisan, malah ada juga dalam bentuk video.
Trend macam inilah yang harus dijadikan ikutan ramai.
Spread kindness and positivity, tau!