Elak Sangkut ‘Jem’ Singapura, Pekerja Malaysia Disaran Bertolak Awal Sebelum 6.30 Pagi
Pengguna juga diingatkan untuk memasuki lorong pelepasan imigresen yang betul.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ribuan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk bekerja dinasihatkan memulakan perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan yang teruk di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, 21 Julai, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mendapati kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura memulakan perjalanan mereka antara 6.30 pagi hingga 7.30 pagi, menyebabkan lonjakan pengguna jalan raya di pusat pemeriksaan imigresen.
Agensi itu menyarankan supaya pengembara merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan semasa waktu pagi yang sesak.

Bagi membantu meningkatkan aliran trafik di pusat pemeriksaan, AKPS juga menggesa para pengembara untuk beri kerjasama dengan pegawai dan menggunakan aplikasi MyNIISe
Agensi itu menasihatkan para pelancong untuk mengikuti arahan daripada pegawai yang bertugas, termasuk bergerak ke bahagian belakang barisan untuk mengisi lorong pemeriksaan yang kosong.
"Kerjasama ini amat penting bagi memastikan pengagihan pengembara ke setiap lorong dapat dilakukan secara lebih seimbang dan proses pemeriksaan dapat dipercepatkan," katanya.
Sementara itu, mereka yang menggunakan aplikasi MyNIISe perlu memastikan kod QR mereka dikemas kini dan sedia diguna sebelum tiba di lorong pemeriksaan, kerana mengemas kini di kaunter boleh menyumbang kepada kesesakan.

Pengguna juga diingatkan untuk memasuki lorong pelepasan imigresen yang betul, sama ada menggunakan kaunter manual, MyBorderPass atau MyNIISe
"Pemilihan lorong yang tepat bukan sahaja mempercepatkan urusan pemeriksaan, malah membantu mengurangkan gangguan kepada pengguna lain," kata AKPS, sambil menambah bahawa kerjasama orang ramai adalah penting dalam memastikan pelepasan sempadan yang lancar, selamat dan teratur.
Agensi itu menambah bahawa, selaras dengan usaha kerajaan, perkhidmatan imigresen digital akan terus diperluas, manakala bilangan kaunter imigresen manual akan dikurangkan secara berperingkat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via