"Gemuk Tak Nak Cream" - Tak Pasal-pasal Pelanggan Kena 'Body Shaming' Dengan Waiter
Ini namanya biadap.
Dalam apa-apa pekerjaan yang kita lakukan sekali pun, adab dan tingkah laku perlulah dijaga, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan orang
Tak manis jadinya sekiranya seseorang itu bertindak tidak sopan sehingga mampu mencalarkan imej diri dan juga syarikat. Ingat, kita bukan hanya membawa nama baik kita sahaja tetapi turut membawa imej syarikat yang mengambil kita bekerja.
Oleh itu, seseorang itu wajib bekerja berlandaskan tatasusila yang dapat memberi cerminan indah terhadap diri dan juga majikan.
Walaupun bunyi macam common sense, tetapi masih ada juga yang memilih untuk berperilaku biadap dan menganggapnya sebagai bahan jenaka
Salah satu contoh dapat dilihat menerusi posting daripada seorang pengguna Facebook, Nazly Rosli yang telah dihina oleh seorang pelayan restoran kerana berbadan besar.
Menurut perkongsian itu, Nazly bukanlah dihina secara terang-terangan, namun pelayan terbabit mengejek fizikalnya menerusi pesanan yang dibuat. Nazly terkejut apabila mendapati tulisan 'gemuk tak nak cream' jelas terpampang pada resit selepas membuat bayaran.
Nazly bagaimanapun tidak marah tetapi lebih kepada terhibur. Baca perkongsian penuh di bawah:
Bahasa:
"Sila nasihatkan staf untuk tidak menulis catatan yang tidak perlu ketika sedang mengambil pesanan pelanggan. Saya minta untuk tidak meletakkan whipped cream bagi menu iced chocolate tetapi tiba-tiba pesanan saya ditulis sebagai 'gemuk tak nak cream'. Saya tak pasti sama ada catatan ini ditujukan kepada saya atau kepada staf yang membuat minuman.
"Tambahan lagi, mereka berborak begitu kuat tentang bagaimana minuman-minuman yang dibuat oleh rakan sekerja mereka boleh buat 'potong kaki'. Nasib baik saya lebih terhibur daripada marah. Bayangkan jika salah seorang pelanggan cerewet anda menerima resit dengan catatan sebegitu. Tak salah kalau nak bergembira ketika bekerja tetapi tolong bersikap profesional."
Rakan-rakan Nazly terkejut dengan perkara ini dan masing-masing tidak boleh terima kebiadaban pelayan restoran tersebut
Mujur pihak restoran tersebut sudah memberi maklum balas setelah Nazly membuat aduan
Ingat, lain kali jagala tatatertib tidak kira di mana kita berada. Bukan susah pun nak buat baik pada orang, kan? :)