Ikuti Langkah Mudah Ini Jika Serangga Memasuki Telinga Anda. Yang Penting, Jangan Panik!
Tips ini penting bukan sahaja untuk kanak-kanak, orang dewasa juga.
Kejadian seperti serangga masuk ke dalam telinga adalah perkara yang paling jarang berlaku. Namun, jika anda diserang situasi seperti ini, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan dan perlu elakkan.
Salah seorang kurator MedTweetMY di laman Twitter iaitu Dr Shaiful telah mengupas isu ini dan memberikan beberapa tips yang berguna untuk anda mengatasi situasi seperti ini.
Baca perkongsian penuh di bawah:
1. Jangan panik dan kalut
Ini sangat penting, bukan sahaja bagi kanak-kanak, tetapi untuk orang dewasa juga. Jangan terkejut, saya pernah dapat pesakit dewasa yang sangat agresif. Untuk ibu bapa, cuba tenangkan anak-anak anda dengan komunikasi yang berkesan.
2. Jangan cuba masukkan Cotton buds, besi, kunci atau apa-apa alatan ke dalam telinga untuk mengeluarkan serangga itu
Ini perkara yang sangat biasa berlaku. Elakkan. Kerana perkara itu boleh menyebabkan serangga itu semakin tertolak ke dalam telinga dan juga berisiko untuk cederakan saluran telinga termasuk gegendang telinga.
3. Titiskan minyak zaiton ke dalam telinga
Langkah ini mampu untuk melemaskan atau mematikan serangga tersebut agar tidak berlaku komplikasi yang lain disebabkan oleh serangga tersebut, lebih-lebih lagi bagi serangga yang agak besar.
4. Jika anda nampak serangga itu dari luar, cuba perlahan-lahan untuk keluarkannya
Jika bernasib baik, bagi serangga yang sudah nampak keluar di hujung lubang atau cuping telinga, boleh keluarkan samada gunakan jari anda (jika dapat) atau pengepit kecil yang boleh tangkap serangga tersebut.
5. Jika serangga itu masih berada di dalam telinga, segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan
Walaupun rasanya serangga itu sudah mati, anda perlu segera ke Hospital untuk mendapatkan bantuan doktor untuk keluarkannya kerana andai dibiarkan di dalam telinga walaupun serangga itu sudah mati, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman telinga boleh berlaku.