Indonesia Dilaporkan Negara Paling Pemurah 7 Tahun Berturut-Turut, Malaysia Tempat Ke-20
Malaysia mengatasi Norway dan Britain.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Indonesia dilaporkan mengungguli tempat pertama bagi negara paling pemurah di dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut dalam Indeks Pemberian Dunia
Berdasarkan laporan Kosmo!, sembilan daripada sepuluh rakyatnya mendermakan wang bagi tujuan amal, lapor portal berita VNExpress.
Menurut Indeks Pemberian Dunia (WGI) 2024 oleh Yayasan Bantuan Amal (CAF), enam daripada sepuluh warga Indonesia turut meluangkan masa mereka untuk membantu orang lain.
"Indonesia menduduki tempat pertama dengan mendapat 74 markah dan berjaya mengatasi Myanmar pada 2017," kata CAF.
Indeks itu dikeluarkan berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2023, termasuk maklum balas daripada 145,702 responden di 142 buah negara dan wilayah.
Setiap responden perlu menjawab tiga soalan mengenai tindakan mereka tentang badan amal. Soalan itu berkisar sama ada responden mendermakan wang untuk badan amal dan meluangkan masa secara sukarela bagi membantu organisasi berkaitan serta menolong orang tidak dikenali.
Purata maklum balas positif dikira untuk menghasilkan skor indeks bagi setiap negara dengan markah berkisar antara 0 hingga 100 mata.
Kenya pula menduduki tempat kedua dengan 63 mata, meningkat daripada tempat ketiga tahun lalu. Singapura pula naik 19 anak tangga untuk menduduki tempat ketiga dengan 61 mata ekoran inisiatif kerajaan yang menggalakkan pemberian amal dan sukarelawan.
Selebihnya, daripada tujuh negara dalam kedudukan 10 teratas ialah Gambia, Nigeria, Amerika Syarikat (AS), Ukraine, Australia, Emiriyah Arab Bersatu dan Malta.
Myanmar menduduki tempat ke-19 diikuti Malaysia di tangga ke-20 yang mendapat 50 markah sekali gus mengatasi Norway (21) dan Britain (22).
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!