seismik

Isu Hukum Haram Guna 'Android Box' Akses Siaran Berbayar, Ini Penjelasan Penuh Mufti WP

Mengakses siaran berbayar dengan cara yang salah adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Cover image via Lelong.my & Wilayahku

Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.

Umum sedia maklum, android box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat pelbagai siaran dari seluruh dunia

Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.

Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti Playstore, internet dan lain-lain.

Dalam pada itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dr. Luqman bin Haji Abdullah pada hari ini tampil menjawab mengenai hukum membeli android box bagi tujuan mengakses siaran berbayar secara percuma.

Menerusi perkongsian di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, hukum membeli android box pada asalnya adalah harus menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain.

Walau bagaimanapun, penggunaan android box menjadi haram berikutan berlaku pencerobohan dan menzalimi pihak lain.

Ikuti penjelasan penuh oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah mengenai isu berkenaan di bawah:

Soalan:

Apa hukum kita beli android box? Contoh, kita boleh tengok siaran Astro tapi tak bayar pada Astro. Mohon pencerahan pejabat mufti.

Jawapan Ringkas:

Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Huraian Jawapan:

Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain. Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah

Image via Utusan Malaysia

Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu 'siaran berbayar' dan 'siaran percuma'

Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.

Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.

Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

Oleh itu, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Baqarah (188)

Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak

Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. 

Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak. 

Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5; Fiqh Nawazil 165/2)

Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranyya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:

‌الْأَصْلُ ‌فِي ‌الْأَشْيَاءِ ‌الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60)

Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:

‌الْأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk  al-Asybah wa al-Nazoir h.8)

Kesimpulan

Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Wallahu a'lam.

Disclaimer: Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Fatwa yang diterbitkan pada 24 November 2021.

Semoga pencerahan ini dapat menambahkan ilmu untuk kita dan dapat dikongsi dengan rakan-rakan yang lain :)

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: