Jodoh: Dipilih Atau Memilih? Pesanan 'Deep' Buat Lelaki & Wanita Dalam Memilih Pasangan
Bicara jodoh adalah bicara tentang hal yang jauh; akhirat, syurga, redha Allah, bukan semata-mata dunia.
Jodoh, apakah sebenarnya maksud jodoh itu?
Ramai yang tertanya, takdir jodoh menurut Islam adalah pilihan atau bukan?
Jawapannya, jodoh merupakan salah satu rahsia Allah yang sering dipertanyakan dan dipersoalkan oleh manusia. Banyak persepsi yang digambarkan apabila bercakap tentang jodoh. Ia sememangnya takdir Allah yang telah ditetapkan dan tidak mampu untuk ditukar oleh sesiapa.
Di bawah merupakan ayat Al-Quran yang ada menyebut tentang jodoh dan membuktikan bahawa ianya merupakan salah satu rezeki dan nikmat yang diberikan Allah kepada manusia:
“Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah?” (QS.An-Nahl:72)
Namun, segelintir individu kini merasakan bahawa mereka inginkan jodoh sempurna buat diri mereka dan menolak tepi beberapa perkara penting yang turut perlu dititikberatkan dalam proses mencari pasangan hidup
Apakah perkara penting tersebut?
Baca perkongsian di bawah yang telah ditulis sendiri oleh seorang pengguna Facebook iaitu Hurin Ain Salsabil tentang topik yang dibincangkan ini.
Penulisan 'deep' ini bukan sahaja untuk dibaca, malah untuk dihadam dan difahami dengan lebih mendalam oleh orang ramai supaya lebih mengerti apa itu erti jodoh yang dihantar oleh Allah SWT.
Sangat bermanfaat, lebih-lebih lagi untuk anda yang masih belum mempunyai pasangan hidup.
Jodoh; Dipilih atau Memilih?
Pertama.
• Satu hal yang sering dilupakan oleh wanita adalah kemuliaan wanita tidak bergantung pada lelaki yang mendampinginya. Kenapa? Allah meletakkan nama dua wanita mulia dalam Al-Quran, Maryam dan Asiyah.
Kita tahu, Maryam adalah wanita suci yang tidak memiliki suami, dan Asiyah adalah isteri dari manusia yang sangat kejam, Firaun. Apakah pangkat itu mengurangi kemuliaan mereka? Tidak.
Kedua.
• Bicara jodoh adalah bicara tentang hal yang jauh; akhirat, syurga, redha Allah, bukan semata-mata dunia.
Ketiga.
• Jodoh itu sudah tertulis. Tak akan tertukar. Yang kemudian menjadi ujian bagi kita adalah bagaimana cara menjemputnya. Beza cara, beza rasa. Dan tentu saja, beza keberkatannya.
Keempat.
• Dalam hal rezeki, urusan kita adalah bekerja. Soal Allah mahu meletakkan rezeki itu dimana, itu kerja Allah. Dan jodoh, urusan kita adalah ikhtiar. Tentang Allah mahu mempertemukan di mana, itu kerja Allah.
Kelima.
• Cara Allah memberi jodoh bergantung cara kita menjemputnya. Satu hal yang Allah janjikan, bahawa yang baik untuk yang baik. So, jadilah yang terbaik!
Bukan setakat itu sahaja, pastikan anda mengambil berat tentang empat perkara ini: Allah, agama, keluarga dan kawan-kawan pasangan yang bakal dipilih
Keenam.
• Dalam urusan jodoh, ta'aruf adalah proses seumur hidup. Dan yang penting, jangan expect berlebihan dan jangan merasa sudah sangat mengenal sehingga berhak menafsirkan tentang pasangan.
Ketujuh.
• Salah satu cara terbaik mengenali calon pasangan yang baik adalah melihat caranya dengan empat pihak; iaitu Allah, agama, keluarga, dan kawan-kawannya.
"Jodoh bukan hanya mencari dan menunggu, tetapi ketika memang sudah waktunya, dengan apa jua cara sekalipun, dua insan itu akan dipertemukan..."
Tanyakan pada hati sendiri. Mana diantara semua faktor itu yang paling mungkin membawa kamu dan keluarga kamu ke syurga?
Ada satu perkara yang sering orang lupa tentang jodoh; iaitu jodoh bukan hanya mencari dan menunggu, tetapi ketika memang sudah waktunya, walaupun dengan apa cara dan keadaannya, dua insan itu akan Allah pertemukan. Jodoh memang rahsia; sekalipun begitu tak perlu risau menantinya, kerana janji Allah itu pasti. - Gadis Monolog.
Antara nasihat saya untuk kalian;
Buat kaum Adam yang mencari cinta Hawa.
Buat kaum Hawa yang menanti cinta Adam.
Buat kaum Adam, jika anda mahu mencari Hawa, lihatlah dahulu perkara-perkara ini. Jika lengkap pada dirinya, maka itulah jodoh yang sesuai buat dirimu.
1. Jangan dilihat pada purdah mahupun tudung semata, kerna Hawa hari ini tidak lagi seperti dahulu. Lihatlah pada pergerakan tangannya. Andai mudah tangan lembutnya menyentuh pada lelaki lain tanpa lapik, fikirlah semasaknya untuk menyuntingnya. "Sesungguhnya memegang bulu anjing itu lebih baik dari menyentuh kulit lelaki / wanita yang boleh kita kahwini." .
2. Jangan dilihat pada baju labuh mahupun jubahnya semata. Lihatlah pada alis bibirnya. Andai kata-katanya berbisa atau kuat suaranya, fikirlah semasaknya andai hati masih teringin menyuntingnya. Khuatir kelak dia membawa fitnah (menabur buruk) buat suami.
3. Jangan dilihat pada cantik ayu wajahnya semata. Lihatlah pada sepasang indah mata miliknya. Andai tidak redup menunduk pandangan, fikirlah semasaknya andai ingin terus menyuntingnya. Khuatir bila sudah bersuami matanya masih liar melihat segak rupa lelaki lain yang bukan bernama suami.
Buat haum Hawa pula, jika anda mahu menerima kaum Adam, lihat juga perkara-perkara yang disenaraikan ini. Jika cukup, maka fikirlah sebaiknya jika anda ingin bersama mereka.
1. Jangan dilihat pada kereta mewahnya semata. Lihatlah pada aktiviti malamnya, andai liar hidupnya tika malam menjelma, fikirlah sebaiknya andai mahu menerima, kerna maksiat lebih mudah jika malam sudah tiba. Khuatir, subuhnya leka dibuai mimpi nan indah.
2. Jangan dilihat pada pakaian berjenama semata. Lihatlah pada bahagian kakinya. Andai mudah lututnya ditayangkan tatkala lincah di padang bola, fikirlah sebaiknya andai masih mahu menerima kerna aurat suami hanya selayaknya untuk isteri.
3. Jangan dilihat pada tampan semata, lihatlah pada mulutnya tika berbicara. Andai mudah menghambur carutan dan kemarahan, fikirlah sebaiknya andai masih tegar memilihnya, risau hanya kerana kesalahan kecil, isteri akan dimarah kasar.
Lelaki dan wanita hari ini tidak lagi seperti dahulu. Tenang-tenanglah.