Johan Ghazali Tampil Segak Berbaju Melayu Menjelang Aksi Pertarungan ONE 168: Denver
Netizen turut mengucapkan semoga Jojo berjaya meraih kemenangan ke atas lawannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Umum sedia maklum, bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bakal menentang jaguh Mexico, Josue Cruz dalam pertarungan ONE 168: Denver awal pagi Sabtu ini
Pertarungan ONE Championship yang akan berlangsung di Ball Arena di Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu adalah yang pertama buat Johan sejak dia tewas di tangan jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, Jun lalu.
Baru-baru ini, Johan atau mesra disapa Jojo mencuri tumpuan apabila dia tampil berbaju Melayu berwarna hijau lengkap bersampin daripada jenama tempatan terkenal, Bulan Bintang ketika temu bual menjelang aksi pertarungannya dengan Cruz.
Jojo memuat naik gambar menggayakan baju Melayu itu di laman Instagram miliknya dan ramai pengikutnya memuji kerana membawa pakaian tradisional Malaysia ke pentas antarabangsa.
Pada masa sama, pengikutnya turut menzahirkan kata-kata semangat buat Johan agar dia beroleh kejayaan dalam pertarungan menentang Cruz.
"Saya sentiasa teruja untuk membawa bendera Malaysia apatah lagi kali ini saya menempuh perjalanan jauh (ke Amerika Syarikat) untuk pertarungan kali ini" - Jojo
Menurut Jojo, dia sentiasa bersemangat tinggi setiap kali menggalas cabaran untuk Malaysia di pentas antarabangsa.
"Inilah yang saya sentiasa perjuangkan dan lakukan. Setiap kali saya dalam kesukaran dan hampir berputus asa, saya hanya fikirkan peminat iaitu rakyat Malaysia. Mewakili Malaysia adalah segala-galanya bagi saya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!