Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya Meninggal Dunia
Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya dikhabarkan baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi
Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di Hospital Sungai Buloh kira-kira pukul 1 tengah hari, 8 Oktober 2020.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan berita itu diterima daripada seorang pegawai khas Allahyarham sebentar tadi.
Katanya, beliau dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kuang untuk urusan pengebumian.
"Ya, itu berita yang saya terima daripada pegawai khasnya. Kita doakan arwah ditempatkan bersama orang beriman.
"Seluruh warga JAKIM merasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham. Mohon sedekahkan doa," katanya.
Allahyarham meninggal bukan disebabkan Covid-19
Menurut Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 Selasa lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.
"Memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.
Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah :(