Harga Nasi Campur RM100 Berpatutan, Tiada Sebarang Tindakan Boleh Diambil - KPDNKK
Pastikan tengok harga dulu sebelum makan ya.
Baru-baru ini viral di laman Twitter apabila seorang pengguna laman sosial tersebut berkongsi gambar resit bayaran makanan selepas menjamu selera di sebuah kedai makan tepi jalan
Pengguna Twitter yang menggunakan tweethandle @FeyqaMaria itu terkejut dengan harga makanan yang dimakan olehnya dan suami mencecah RM100 untuk dua pinggan nasi.
Gambar berserta caption "Weh memang gini ke kedai ni? ke laki aku makan ikan duyung" mendapat pelbagai reaksi netizen melalui laman sosial tersebut.
Namun, semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang mengesahkan kedai yang mengenakan bayaran RM100 untuk dua pinggan nasi campur yang tular itu adalah benar dan tidak salah
Menurut pengarahnya, Sharuddin Jali yang menjalankan siasatan, harga yang dikenakan adalah berpatutan berikutan harga udang galah juga jelas dipamerkan di bahagian hadapan kedai.
"Siasatan mendapati bahawa gambar yang tular itu menunjukkan dua ekor udang galah, sedangkan jumlah sebenar yang diambil ialah empat ekor, di samping lauk lain termasuk sayur dan sotong.
"Bagi harga udang galah telah dinyatakan bahawa perkiraan adalah mengikut gred iaitu A, B dan C pada harga antara RM50 ke RM100 mengikut hidangan," katanya seperti yang dilaporkan BERNAMA.
Katanya lagi, tiada sebarang tindakan yang boleh diambil ke atas pemilik kedai kerana tiada kesalahan dilakukan selepas siasatan
Beliau kemudiannya menasihatkan orang ramai untuk bertanya kepada pemilik kedai atau menyemak senarai harga makanan yang dipamerkan sebelum mengambil lauk-pauk tersebut.