Kumpulan Hacker Perjelas Sebab Godam Papan Iklan Digital & Paparkan Kandungan Lucah

Penggodam terlibat menyatakan mereka tidak menuntut wang tebusan daripada kejadian terbabit.

Cover ImageCover image via @kluanghariini (Threads)

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Sekumpulan penggodam telah menjelaskan punca di sebalik serangan siber terhadap papan iklan digital di beberapa kawasan di dunia, termasuk di Kluang, Johor, di mana kandungan lucah dipaparkan pada skrin LED di sekitar bandar tersebut

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Leakers' itu menyatakan bahawa serangan mereka telah menjangkau Mesir, Iraq, Brazil, China dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan kepada The Cairo Report, seorang wakil sindiket tersebut berkata ahli-ahlinya telah mengeksploitasi kelemahan dalam perisian yang digunakan untuk menghantar kandungan ke paparan LED. Walau bagaimanapun, mereka tidak secara khusus menyasarkan papan iklan di Mesir.

Wakil tersebut mendakwa bahawa perisian yang terjejas itu mempunyai beberapa kelemahan keselamatan, yang sebahagiannya boleh dieksploitasi melalui halaman dan antara muka sistem itu sendiri.

Mereka mendakwa bahawa ahli-ahlinya mengenal pasti sasaran melalui pengimbasan automatik, bukannya dengan sengaja memilih syarikat atau negara tertentu sebelum mengambil alih papan iklan tersebut.

Sindiket itu dilaporkan telah mengenal pasti beribu-ribu sistem yang terdedah dalam tempoh kira-kira dua jam.

SAYS.com

Papan iklan digital yang terkesan di Giza, Mesir.

Image via The Cairo Report

Dalam kenyataan awam pertamanya, sindiket tersebut menyatakan bahawa serangan itu bertujuan untuk mengetengahkan kerentanan keselamatan dan bukannya untuk wang atau menyebarkan perisian tebusan (ransomware)

"Syarikat-syarikat membelanjakan berjuta-juta untuk membina infrastruktur merentasi pelbagai negara, namun membiarkan skrin LED dan rangkaian papan iklan terdedah sepenuhnya di Internet tanpa perlindungan asas.

"Kami bukan di sini untuk memberi ceramah, meminta derma, atau bertindak seperti kumpulan penjenayah ransomware. Matlamatnya mudah, mendedahkan kelemahan yang teruk ini dan membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai sedikit akal fikiran mampu mengambil alih skrin di seluruh negara anda secara masa nyata.

"Media arus perdana gemar menggambarkan kejadian ini sebagai serangan siber yang sangat canggih dan ditaja oleh pihak negara tertentu, namun hakikatnya infrastruktur anda sangat memalukan, tidak kira di mana pun anda berada," menurut kenyataan tersebut.

SAYS.com

Papan iklan digital yang terkesan di Kluang, Johor.

Image via @kluanghariini (Threads)

Khamis lalu, 29 Oktober, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) mengesahkan bahawa papan iklan digital miliknya telah terkesan dalam satu serangan siber, yang mengakibatkan kandungan berunsur dewasa dipaparkan di tempat awam

Dalam satu kenyataan malam tadi, MPK memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak pembekal bagi mengenal pasti punca serangan, melaksanakan langkah pemulihan serta memperkukuh keselamatan sistem tersebut.

"MPK memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan kejadian ini.

"MPK memandang serius perkara ini, mengutuk keras kejadian tersebut, dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan serta mencemarkan nama baik dan imej MPK," katanya.

Menerusi laporan New Straits Times, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihak majlis telah mematikan skrin LED berkenaan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Untuk makluman, sistem LED MPK telah digodam dan MPK mengambil tindakan segera dengan mematikan semua skrin LED tersebut," katanya.

View on Threads

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS