Lebih 70 Tahun Bertahan, Kedai Kopi Ah Meng Jadi Tempat Pelbagai Bangsa Duduk Semeja
Lebih tujuh dekad berlalu, tradisi itu masih hidup.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Di sebalik lambakan kafe moden dengan dekorasi cantik dan konsep yang 'Instagrammable', masih ada kedai kopi tradisional yang kekal menjadi pilihan masyarakat untuk bersarapan
Menariknya, bukan sekadar kerana kopi dan makanan yang disediakan.
Kedai Kopi Ah Meng di Kampung Parit, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sudah beroperasi lebih 70 tahun dan menjadi antara lokasi yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai kaum.
Menurut laporan Kosmo!, kedai kopi yang diasaskan selepas Perang Dunia Kedua itu bukan sahaja mengekalkan menu tradisional, malah menjadi tempat pertemuan penduduk tempatan sejak beberapa generasi lalu.
Kini, legasi tersebut diteruskan oleh generasi keempat keluarganya, Tan Dao Qin, 26.


Selepas menamatkan pengajian Ijazah Perhubungan Awam di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Tan memilih untuk mengambil alih perniagaan keluarga demi memastikan kedai kopi berkenaan terus bertahan
Namun, bagi Tan, perkara paling istimewa tentang kedai tersebut bukan sekadar usia atau menu yang ditawarkan. Sebaliknya, suasana apabila pelanggan daripada kaum berbeza boleh duduk bersama di meja yang sama.
"Saya perasan perkara paling menarik di kedai ini ialah orang Melayu, Cina dan India boleh duduk semeja, berbual dan menikmati makanan bersama. Suasana seperti ini semakin sukar ditemui.
"Hampir 90 peratus pelanggan kedai itu terdiri daripada orang Melayu, manakala selebihnya masyarakat Cina dan India.
"Kami ada banyak pilihan minuman dan makanan, namun pelanggan paling gemar minum kopi bersama nasi lemak, mi kari atau roti bakar pada waktu pagi," katanya.

Bagi pelanggan tetap, Mohd Zin Abdullah, 49, pula, Kedai Kopi Ah Meng mempunyai tarikan tersendiri yang membuatkannya terus menjadi lokasi wajib dikunjungi.
"Sudah lama saya datang ke sini. Makanan dan kopinya memang istimewa. Selain itu, kedai ini menjadi salah satu tarikan di Kuala Pilah kerana menghimpunkan pelanggan daripada pelbagai latar belakang," katanya..
Bagi pesara Alam Flora, Mohd Raymie Tahir, 56, Kedai Kopi Ah Meng sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk kampung sejak dia masih kecil.
"Dulu kalau nak jumpa kawan-kawan atau orang lama, memang datang sini. Sampai sekarang suasana itu masih kekal. Saya datang dua atau tiga kali seminggu. Kopinya memang sedap, begitu juga roti bakar, mi kari dan cakoi. Suasana tradisional inilah yang membuatkan saya terus datang," katanya.
Menurutnya, kewujudan kedai kopi tradisional seperti Ah Meng bukan sekadar menawarkan makanan kepada pelanggan. Malah, tempat sebegini menyimpan sejarah, kenangan dan identiti sesebuah kawasan.
"Harap kedai seperti ini terus dipelihara. Bukan sekadar tempat makan, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah dan kenangan masyarakat Kuala Pilah," katanya lagi.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi restoran moden dan kafe berkonsep, Kedai Kopi Ah Meng membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak boleh digantikan dengan dekorasi atau trend semasa
Secawan kopi, sekeping roti bakar dan meja yang dikongsi bersama mungkin nampak biasa.
Tetapi di situlah terhasilnya satu pemandangan yang semakin jarang ditemui. Melayu, Cina dan India duduk semeja, berbual dan menikmati sarapan bersama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via