Aceh Haramkan Lelaki Dan Wanita Makan Semeja Supaya Wanita Boleh 'Berkelakuan Lebih Baik'
Kongsi makanan pun tak boleh.
Daerah Biruen di Aceh, Indonesia telah mengeluarkan beberapa garis panduan baru yang perlu dipatuhi oleh setiap kafe dan restoran di sana
Daripada 14 senarai garis panduan tersebut, salah satu yang menjadi kontroversi ialah pengharaman lelaki dan wanita untuk makan dan minum semeja.
Selain itu, kafe dan restoran juga diharamkan untuk melayan mana-mana pelanggan wanita selepas jam 9 malam, manakala lelaki dan wanita turut dilarang untuk berkongsi makanan.
Ketiga-tiga peraturan ini bagaimanapun tidak tertakluk kepada lelaki atau wanita yang hadir bersama mahramnya.
Peraturan itu dilaksanakan bagi membantu wanita 'berkelakuan lebih baik'
"Objektifnya bertujuan untuk melindungi maruah wanita supaya mereka berasa lebih selesa, lebih selamat, berkelakuan baik, dan tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang Islam," jelas ketua agensi syariah tempatan, Jufliwan kepada AFP.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah meskipun mengundang pelbagai kritikan pada masa lalu berikutan meletakkan sekatan terhadap golongan wanita.
Februari lalu, Aceh turut memberi amaran kepada syarikat penerbangan supaya tidak menggunakan pramugari yang tidak menutup aurat dalam penerbangan ke Aceh
Berikutan itu, pihak AirAsia terpaksa akur dengan syarat tersebut dan akan menggunakan pramugara sahaja bagi mengendalikan penerbangan ke Aceh.
Menurut kenyataan dari AirAsia, mereka komited untuk memastikan kru operasi mereka mematuhi arahan tersebut.
Jadi, sebelum terbang ke Aceh, pastikan anda bawa rakan-rakan yang sama jantina dengan anda supaya anda tidak forever alone di meja sebelah