Malayan Xpedition 2026 Satukan Komuniti 4×4, Terokai Keindahan Alam Tersembunyi
Program itu turut menarik penyertaan antarabangsa dari New Zealand, Australia, Taiwan, Thailand, Singapura, Belgium dan Belanda.
Cover image via Malayan Xpedition 2026Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malayan Xpedition 2026 bukan sekadar perjalanan meredah laluan mencabar menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4), sebaliknya mengangkat pengalaman meneroka Malaysia tersembunyi sambil menghubungkan komuniti automotif, keluarga dan penggemar aktiviti luar
Dianjurkan By The Billions (BTB), ekspedisi yang baru selesai itu membawa peserta dari Lembah Klang merentasi hutan hujan Pahang sebelum berakhir di Cherating, dengan tumpuan diberikan kepada pengalaman, persahabatan dan sumbangan kepada komuniti setempat.
Berbeza daripada acara bermotifkan perlumbaan, Malayan Xpedition 2026 bukan pertandingan, sebaliknya perjalanan meneroka kampung, sungai dan denai hutan yang jarang dikunjungi kebanyakan rakyat Malaysia.
Malah, ekspedisi kali ini turut menarik penyertaan dari New Zealand, Australia, Taiwan, Thailand, Singapura, Belgium dan Belanda, selain peserta dari seluruh Malaysia, sekali gus menjadikan pengalaman itu lebih pelbagai dari segi latar dan budaya.
Perjalanan dimulakan dengan Adventure Festival di PARC, Subang Jaya, yang buat julung kalinya dibawa BTB ke Lembah Klang, menghimpunkan keluarga, pemandu 4×4 baharu serta komuniti setempat dalam satu ruang yang sama.
Festival itu turut menawarkan aktiviti seperti dragonboating, panjat tebing, sesi terapi kreatif dan merasa kopi, manakala TraxxFM bertindak sebagai pengacara dan rakan hiburan, selain cabutan bertuah menawarkan barangan sehingga RM150,000.



Dari perspektif automotif, GWM kembali sebagai Preferred Automotive Partner untuk tahun kedua berturut-turut, manakala Grantt Lubricants meneruskan peranan sebagai Lubricant Partner untuk tahun kedua.
Antara detik menarik festival ialah pemberian sebuah Toyota Land Cruiser Prado berusia 29 tahun yang diberi nama "MX90" kepada pemilik baharu, selepas melalui proses baik pulih dengan kerjasama Wing Hing Body and Paint serta HY Auto Trading.
Kisah "MX90" turut membawa mesej bahawa dunia pengembaraan tidak semestinya bergantung kepada model terbaharu, sebaliknya kenderaan yang dijaga rapi, rakan seperjalanan dan keberanian meneroka laluan baharu sudah memadai untuk mencipta pengalaman tersendiri.
Selepas festival, peserta bergerak ke kawasan pedalaman menerusi dua laluan iaitu Adventure Route yang menawarkan pengalaman lebih mencabar dan teknikal, serta Explorer Route yang lebih ringan untuk pemandu 4×4 baharu, keluarga dan mereka yang baru berjinak dengan aktiviti luar jalan.
Walaupun tahap cabaran berbeza, kedua-dua laluan itu membawa peserta ke destinasi sama, iaitu tapak perkhemahan yang dikongsi bersama sebelum aktiviti diteruskan dalam suasana lebih santai
Ekspedisi kemudian membawa peserta jauh ke kawasan Hulu Tembeling, memasuki hutan hujan yang berusia lebih 130 juta tahun sebagai sebahagian daripada landskap Taman Negara.
Antara pengalaman paling mencabar ialah perjalanan sungai sejauh sembilan kilometer yang menyaksikan peserta meredah air sejuk dan permukaan batu berlumut, selain aktiviti memasak yang mengubah tapak perkhemahan menjadi ruang untuk peserta berkongsi hidangan dan resipi.
Lebih menarik, sambutan Hari Malaysia diraikan jauh daripada kesibukan bandar apabila peserta berkumpul di tengah hutan untuk menikmati jamuan potluck yang disokong MeatXpert.
Tema Hari Malaysia tahun ini, Kesejahteraan Dinikmati (Shared Prosperity), diterjemahkan menerusi konsep setiap peserta membawa sesuatu untuk dikongsi, sebelum semuanya menikmati hidangan bersama di bawah kanopi hutan.
Namun, perjalanan itu tidak berakhir dengan meninggalkan hutan seperti keadaan asal kerana BTB turut membawa agenda memberi kembali kepada kawasan dan komuniti yang menerima kehadiran ekspedisi berkenaan.


Antara sumbangan dibuat termasuk penanaman pokok kayu keras asli dan pokok ara utama di sepanjang Sungai Kerum dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut, selain sumbangan bahan perkakasan kepada Kampung Kuala Sat bagi membaiki serta menambah baik infrastruktur saluran paip air bersih.
HeartSpace turut membawa klinik bergerak ke Kuala Sat untuk menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan mengagihkan kit kesejahteraan kepada penduduk, manakala peserta menyumbangkan bekalan serta pakaian terpakai kepada komuniti tempatan.
Malah, peserta turut menginap di Kuala Sat dan menggunakan kemudahan penginapan, makanan serta minuman, aktiviti dan bekalan tempatan supaya kehadiran ekspedisi turut memberi manfaat kepada kehidupan komuniti berkenaan.
Pengasas BTB, Ned Nazlan, berkata Malayan Xpedition adalah mengenai cerita, masa dan detik yang dikongsi bersama, dengan pengalaman meredah sungai, memasak dan berkhemah di bawah pokok hutan purba menjadi pengikat komuniti; perjalanan itu kini diteruskan ke Malayan Xpedition 2027.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


