Misteri Hilang 11 Hari Terjawab - Mayat Gadis 11 Tahun Ditemui Tanpa Organ Dalaman
Mayat dikatakan berada dalam keadaan berbogel dengan tangan terikat.
Misteri kehilangan seorang gadis berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 30 Januari lalu akhirnya terjawab
Selepas dilaporkan hilang sejak 30 Januari lalu, mayat Siti Masyitah Ibrahim, 11, ditemui dalam keadaan amat tragis dengan tangan dan kakinya diikat, selain beberapa organ dalamannya hilang.
Mayat kanak-kanak itu ditemui beberapa orang kampung di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, pada 5 petang Sabtu, 9 Februari 2019.
Pada 30 Januari lalu, Siti Masyitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk ke kedai runcit
Selepas itu, Siti Masyitah langsung tidak pulang ke rumah dan hilang tanpa jejak.
Menurut keterangan ibu mangsa, Zaleha Abdullah, anaknya keluar menunggang basikal berseorangan selepas meminta RM1 untuk ke kedai runcit.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Pekan pada malam 30 Januari selepas usaha mencari dan mengesannya menemui jalan buntu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek mengesahkan penemuan mayat itu, namun maklumat berhubung kematian mangsa akan dikeluarkan selepas proses bedah siasat selesai
“Saya mengesahkan menerima maklumat kes itu. Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi pengesahan lanjut mengenai punca kematiannya. Tunggu laporan forensik dan bedah siasat selesai.
“Mayat itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna dipercayai sudah lama meninggal dunia,” katanya kepada Berita Harian.
“Luluh dan berkecai hati saya melihat keadaan anak saya seperti itu," kata ibu mangsa, Zaleha Abdullah
"Tangan dan kaki diikat, selain mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan kepala sudah terpisah daripada badan.
"Beberapa organ dalamannya juga tidak dijumpai. Ketika dia hilang sejak 11 hari lalu, kami sudah mencarinya di kawasan ini tetapi tidak jumpa,” katanya.
“Sepanjang tempoh kehilangannya selama 11 hari, saya sentiasa berdoa supaya Allah SWT menemukan saya dengannya dalam apa juga keadaan. Apabila saya melihat mayatnya, semalam, saya amat sedih.
“Mengapa tergamak melakukan perkara sebegini kejam terhadap anak saya, apa dosanya?” katanya lagi.