seismik

Sah! Najib Jadi Bekas PM Pertama Disabitkan Bersalah 7/7 Pertuduhan Di Mahkamah Tinggi

Pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Cover image via Google & EPA

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Menurut laporan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Image via Astro Awani

"Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.

"Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan," kata Mohd Nazlan.

Susulan keputusan hakim itu, peguam bela tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon penangguhan untuk prosiding untuk rayuan sebelum hukuman dijatuhkan pada Isnin depan

Namun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang mengetuai pendakwaan, dengan hujah penangguhan hanya diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Najib, perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi pemimpin negara pertama di Malaysia diheret ke mahkamah

Image via Airtimes

Bagi pertuduhan salah guna kuasa Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, Najib didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan hukuman sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu untuk tiga pertuduhan pengubahan wang haram Ahli Parlimen Pekan itu dituduh mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Namun setakat ini mahkamah belum lagi memutuskan hukuman bagi pertuduhan kesemua tersebut.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: