Nasi Kerabu Kelantan Kini Dilindungi Undang-Undang, Miliki Identiti Jenama Sendiri

Pengusaha yang ingin menggunakan cap berkenaan perlu mematuhi piawaian ditetapkan.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Nasi Kerabu Kelantan kini mempunyai identiti jenama yang dilindungi undang-undang menerusi pendaftaran Cap Kolektif di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO)

Menerusi laporan Bernama, ia sekali gus membuka peluang kepada pengusaha tempatan mengembangkan nilai komersial makanan tradisional itu.

Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata pendaftaran pada 29 Julai lepas membolehkan pengusaha yang memenuhi syarat menggunakan satu identiti jenama bersama bagi memelihara reputasi dan keaslian Nasi Kerabu Kelantan.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mengangkat hidangan yang diiktiraf sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Kebangsaan pada 2009 itu daripada sekadar makanan tradisional kepada produk yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.

Menurutnya, MyIPO merekodkan 22 pendaftaran Cap Kolektif dari 2020 hingga 2025, merangkumi 17 pendaftaran tempatan dan lima asing, sekali gus berharap inisiatif itu dapat menggalakkan lebih banyak komuniti produk tempatan melindungi identiti serta nilai komersial produk masing-masing.

SAYS.com

Yusnieza Syarmila (kanan) menyaksikan penyerahan sijil Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan.

Image via NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pengusaha yang ingin menggunakan cap berkenaan perlu mematuhi piawaian ditetapkan

Khususnya dari segi penggunaan bahan asli dan tradisional seperti daun kesum, selom, bunga telang serta bunga kantan.

Yusnieza Syarmila berkata penggunaan bahan asing atau moden seperti kubis putih tidak digalakkan kerana tidak menepati piawaian cap kolektif berkenaan, selain pengusaha perlu lulus penilaian kualiti yang ditetapkan.

"Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) memainkan peranan penting dalam menguruskan cap kolektif ini bagi memastikan reputasi dan identiti jenama Nasi Kerabu Kelantan terus terpelihara.

"Pada peringkat awal, PERMEKA dipertanggungjawabkan mewakili 25 pengusaha terawal manakala penggunaan cap ini tertakluk kepada garis panduan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik