Pengorbanan Ibu Bapa Penoreh Getah Bawa Kejayaan Lahirkan 46 Doktor Sekeluarga
Keluarga tersebut mempunyai seramai 61 orang doktor, termasuk pasangan berkahwin kepada keluarga itu.
Cover image via Kwong Wah DailyFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang doktor yang juga anak sulung daripada 11 adik-beradik menyatakan bahawa legasi bidang perubatan dalam keluarga mereka yang merentasi generasi adalah hasil daripada pengorbanan ibu bapanya
Bilangannya adalah terdiri dengan 46 orang doktor dalam kalangan keturunan mereka, atau 61 orang jika termasuk pasangan masing-masing.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dan pemilik Klinik Lim di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Datuk Dr Lim Boon Sho berkata mendiang ibu bapanya, Lim Tang Too dan Loo Siew Chin, meletakkan pendidikan sebagai keutamaan walaupun bergelut menyara keluarga sebagai penoreh getah, lapor The Star.
Daripada 11 orang adik-beradik itu, lapan anak lelaki menjadi doktor manakala seorang lagi menceburi bidang perniagaan. Seorang anak perempuan menjadi peguam, sementara seorang lagi menjadi suri rumah.
Menerusi laporan Berita Harian, Dr Lim mengaitkan pencapaian keluarga itu dengan tekad ibu bapanya untuk memberikan peluang kepada anak-anak mereka, peluang yang tidak pernah mereka sendiri nikmati.
Ibunya, yang lahir pada tahun 1922 dan tidak pernah bersekolah, bekerja bersama-sama bapanya untuk menguruskan pendapatan keluarga yang terhad demi memastikan anak-anak mereka terus mendapat pendidikan.
Bagi pasangan itu, pendidikan bukan sahaja merupakan jalan keluar daripada kemiskinan, malah satu legasi berharga yang mampu mengubah nasib keluarga.
Sebagai anak sulung, Dr Lim berasa bertanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi teladan kepada adik-adiknya.
Dr Lim dedah tempoh menunggu yang lama untuk mendapatkan rawatan di Hospital Muar mendorong bapanya berhasrat agar mempunyai doktor dalam kalangan ahli keluarga mereka
"Kesukaran mendapatkan rawatan hospital, yang memaksa kami menunggu lama pada masa dahulu, menyebabkan bapa saya, seorang penoreh getah, berhasrat agar anak-anaknya menjadi doktor. Impian itu menjadi kenyataan, dan kini keluarga kami mempunyai 46 orang doktor, termasuk cucu dan cicit beliau," kata Dr Lim.
Adik bongsunya, Karin Lim, seorang peguam yang berpangkalan di Pulau Pinang, memberitahu The Star bahawa ibu bapa mereka pernah kehilangan seorang anak akibat penyakit pada masa akses kepada penjagaan kesihatan adalah sukar. Tragedi itu menguatkan tekad bapa mereka untuk melihat anak-anaknya menjadi doktor yang mampu membantu orang lain.
Menurut Dr Lim, keluarga mereka pernah tinggal di Kampung Belemang, Serom, Johor, sebelum berpindah ke Muar akibat ancaman komunis.
Demi menyara keluarga, bapa mereka melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk menjual buah-buahan, bekerja sambilan dan mengusahakan sebuah kedai runcit kecil. Anak-anaknya turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.
Dr Lim mengimbau pengalamannya membantu peniaga pasar membersihkan sayur-sayuran dan ikan pada hujung minggu, dengan memperoleh pendapatan antara RM1 hingga RM2.
Beberapa kenangan kekal dalam ingatannya walaupun setelah kehidupan keluarga mereka bertambah baik, antaranya termasuk membawa pulang ikan yang hampir rosak, serta menerima roti daripada seorang lelaki tua yang bersimpati dengan kesukaran hidup mereka.

Hasrat bapa mereka mula menampakkan bentuk apabila Dr Lim melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India pada tahun 1964, dengan sokongan biasiswa daripada Lee Foundation serta bantuan daripada Hospital Adventist Pulau Pinang
Tujuh orang adik lelakinya kemudian turut melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di India, Australia dan England, dengan Dr Lim membantu membiayai yuran pengajian mereka.
Bantuan daripada saudara-mara dan Lim Clan Association juga membolehkan beberapa ahli keluarga lain mengikuti pengajian perubatan. Seorang kenalan keluarga turut menawarkan bantuan untuk membolehkan mereka menamatkan pengajian, dengan syarat bayaran balik hanya dibuat setelah mereka bergelar doktor.
Bapa mereka tetap bertekad walaupun dalam keadaan serba kekurangan dari segi kewangan. Menurut Dr Lim, apabila adiknya, Dr Boon Hock, mempersoalkan bagaimana keluarga mereka mampu membiayai pengajian perubatannya di India, bapa mereka berjanji akan mencari wang tersebut, walaupun terpaksa meminta sedekah atau berhutang.
Karin akhirnya memilih kerjaya yang berbeza. Beliau memberitahu The Star bahawa pada asalnya beliau berhasrat untuk mempelajari bidang perubatan, namun seorang daripada abangnya menyatakan bahawa keluarga mereka sudah mempunyai ramai doktor, lalu menggalakkannya untuk memilih bidang undang-undang.
Ibu mereka, Loo Siew Chin, meninggal dunia pada usia 102 tahun Khamis lalu, 12 November, membawa ahli keluarga dari seluruh dunia berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir
Dr Lim menyatakan bahawa terdapat 46 orang doktor dalam keluarga tersebut, termasuk pakar perubatan. Jumlah itu meningkat kepada 61 orang jika pasangan mereka turut diambil kira, manakala sebahagian ahli keluarga yang lebih muda masih lagi menuntut dalam bidang perubatan.
Karin memberitahu The Star bahawa lebih daripada 120 orang saudara-mara telah datang dari seluruh Malaysia, Singapura, Australia, Britain, dan Ireland untuk menghadiri upacara pengebumian di Trinity Church Muar Cemetery.
Beliau menyifatkan ketabahan ibunya serta didikan daripada kedua-dua ibu bapanya sebagai faktor utama yang membentuk keluarga tersebut.
Karin turut berkongsi bahawa ibu bapanya sentiasa menekankan kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat, serta menggalakkan anak-anak dan keturunan mereka untuk berkumpul semasa musim perayaan dan acara-acara istimewa.
Memandangkan kedua-dua ibu bapanya telah tiada, Karin berkata ahli keluarga akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah bagi pertemuan keluarga demi memastikan tradisi tersebut terus terpelihara.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


