Nenek 78 Tahun Kahwin Lagi Lepas 42 Tahun Jadi Balu - "Dipinang Hari Pertama Ramadan"
Alhamdulillah, tahniah nenek!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sesiapa saja yang kehilangan suami atau isteri tercinta, pasti sukar untuk membuka kembali hati untuk orang baru di dalam hidupnya
Tambahan lagi, jika sudah mempunyai ramai anak bersama dan pasangan pergi meninggalkan kita. Pasti sayu rasa hati dan belum bersedia menerima kedatangan orang lain di hati.
Begitulah kisah hidup seorang nenek ini apabila dia telah kematian suami sejak 42 tahun yang lalu dan kini berjodoh dengan suami barunya.
Terima pinangan selepas dirisik pada hari pertama Ramadan tahun ini
Menerusi laporan Harian Metro, meskipun usianya kini sudah mencecah 78 tahun, Rohani yang memiliki lapan anak, 44 cucu dan 15 cicit itu tidak menolak ketentuan akan bertemu jodoh.
Selepas mendapat persetujuan daripada keluarga terutamanya anak-anak, dia menerima pinangan selepas dirisik pada hari pertama Ramadan tahun ini iaitu 12 April lalu.
Selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz, Rohani berkata dia bertemu dengan suaminya, Yusof Embi, 77, selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan.
"Saya menjadi balu selama 42 tahun dan anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing. Kini Allah SWT bukakan pintu hati saya untuk menerima pasangan hidup semula dan saya memang ingin mencari orang yang boleh menjadi imam dan peneman ketika beribadah.
"Hari ini, Alhamdulillah kami selamat bergelar suami isteri dan paling penting hubungan ini mendapat restu daripada kedua-dua keluarga, malah anak, menantu dan cucu menyokong niat murni ini.
"Sudah pasti saya gembira semuanya dipermudahkan dan harapan saya hubungan ini akan kekal hingga ke Jannah," katanya.
Sementara itu, suaminya, Yusof berkata dia bersyukur proses ijab kabul berjalan dengan lancar
"Syukur sekali lafaz dan tak ada rasa gementar sewaktu majlis akad nikah, mungkin kerana sudah berusia. Saya kehilangan isteri pada 2021 dan Allah izinkan untuk bertemu jodoh semula, lagi pula anak-anak sibuk dengan tugas masing-masing.
"Pertama kali melihat gambar Rohani saya sudah tertarik dan kami berjumpa di kedai makan, malah saya rasa sangat serasi dengan dia. Rohani juga baik dari segi tutur bahasa serta gurau sendanya membuatkan saya terbuka hati memperisterikannya," katanya.
Walaupun dua-dua dah berumur, manis pengantin baru tu tetap ada. Selamat pengantin baru nenek dan atuk. Moga kekal bahagia hingga ke jannah! :)
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!