NIMS Lancar Tiga Perisa Chocotub Baharu ‘Citarasa Malaysia’, Tawar Hadiah Kereta e.MAS

NIMS juga memaklumkan bakal tembus 20,000 premis 7-Eleven Thailand menerusi CP ALL.

Enlarge text
Cover ImageCover image via @nims.hq (Instagram)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Syarikat tempatan, NIMS International Group Sdn. Bhd. baru-baru ini secara rasminya melancarkan produk inovasi terbaharunya, NIMS Chocotub®️ – Taste of Malaysia : Malaysia's Favourite Flavours, bersempena dengan kempen pengguna nasional NIMS Beli & Menang 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000 kepada rakyat Malaysia

Majlis pelancaran acara ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor.

Pelancaran ini disifatkan sebagai satu inisiatif yang mengetengahkan keunikan citarasa Malaysia melalui produk inovasi tempatan serta meraikan sokongan pengguna terhadap jenama Malaysia melalui sebuah kempen pengguna berskala nasional.

NIMS Chocotub®️ – Taste of Malaysia atau Citarasa Malaysia diwujudkan sebagai sebuah penghormatan kepada rasa yang dekat di hati rakyat dan berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa. Koleksi istimewa ini menampilkan tiga perisa yang diinspirasikan daripada citarasa kegemaran rakyat Malaysia iaitu Teh Tarik Crunch, Onde Onde Crunch, dan Sirap Bandung Laici Crunch.

SAYS.com
Image via @nims.hq (Instagram)

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Norhanim Tengku Othman, setiap perisa membawa kisah dan nostalgia tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian budaya serta identiti Malaysia.

"Melalui NIMS Chocotub®️ – Taste of Malaysia, NIMS berharap dapat memperkenalkan keunikan rasa Malaysia kepada pengguna global serta menjadikan produk tempatan sebagai salah satu medium untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, sebagai sebuah jenama tempatan, pihak syarikat percaya bahawa makanan mempunyai keupayaan untuk memperkenalkan identiti dan budaya sesebuah negara kepada dunia.

"Ia juga selaras dengan aspirasi untuk memperkukuhkan kedudukan produk Malaysia di pasaran global melalui pembangunan produk bernilai tambah yang mempunyai identiti Malaysia yang tersendiri. Kami berharap suatu hari nanti apabila dunia menikmati produk ini, mereka akan mengenali dan merasai keunikan Malaysia melalui setiap produk yang kami hasilkan," jelas beliau lagi.

SAYS.com
Image via @nims.hq (Instagram)

Kempen Beli & Menang 2026 tawar hadiah RM150,000 & Proton e.MAS

Sebagai langkah meraikan pengguna yang sentiasa menyokong jenama ini, kempen "NIMS BELI & MENANG 2026" dilaksanakan bermula 8 Ogos hingga 8 November depan.

Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih daripada RM150,000 termasuk hadiah utama sebuah Kereta Proton e.MAS serta pelbagai hadiah menarik lain yang akan diumumkan sepanjang tempoh kempen. Pengguna hanya perlu membeli produk keluaran NIMS sebagai syarat penyertaan.

Kempen ini dijangka akan membabitkan penyertaan pengguna di seluruh Malaysia melalui platform e-dagang, pasar raya, dan rangkaian ejen rasmi NIMS.

SAYS.com
Image via @nims.hq (Instagram)

Dalam pada itu, Tengku Norhanim mendedahkan bahawa jenamanya sudah mengikat kerjasama dengan CP ALL Thailand selama dua tahun kontrak. Menerusi perjanjian ini, produk NIMS bakal diedarkan di lebih 20,000 premis serbaneka 7-Eleven di seluruh Thailand.

"Bukan satu proses mudah untuk tembus ke sana. Ia bergerak sejak dari 2021 lagi. Insya-Allah flag off ke Thailand ini akan dilakukan tak lama lagi di kilang kami di Meru, Klang. Saya juga ingin melihat lebih banyak produk Malaysia memenuhi kontena yang akan berlayar ke seluruh dunia,"
katanya.

Syarikat ini cukup komited dalam pembangunan produk inovasi berasaskan citarasa pengguna serta pengembangan pasaran ke peringkat antarabangsa. Sehingga kini, produk keluaran NIMS telah berjaya menembusi lebih 27 buah negara dan terus komited dalam memperkenalkan inovasi produk Malaysia ke peringkat global.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik