Pemandu Kereta Terbabas Nyaris Jatuh Di Parking Hospital Rupanya Alami Masalah Jantung
Kejadian itu menggemparkan segelintir orang ramai yang kebetulan berada berhampiran lokasi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) nyaris terjatuh dari tingkat tiga bangunan parkir Hospital Sultan Idris Shah, Serdang
Ia selepas dipercayai terbabas dan merempuh pagar besi serta sebahagian dinding konkrit, semalam.
Menerusi beberapa gambar dan video yang tular di media sosial, kelihatan sebahagian bahagian badan dan tayar hadapan kereta jenis Honda WR-V itu sudah terkeluar dari bangunan terbabit.
Kejadian tersebut telah mengejutkan segelintir orang ramai yang kebetulan berada berhampiran lokasi terbabit apabila ada yang mendakwa terdengar bunyi detuman kuat.
Pemandu alami sakit jantung
Difahamkan, pemandu kereta yang nyaris jatuh dari tingkat tiga bangunan parkir pusat jantung, rupa-rupanya berasa sakit dada ketika memandu.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Pengarah Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang Dr Farique Rizal Abdul Hamid berkata keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pagar besi serta sebahagian dinding konkrit pakir berkenaan.
Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun merupakan pesakit jantung.
"Pemandu tersebut mengalami sakit dada secara tiba-tiba ketika memandu, menyebabkan kehilangan kawalan ke atas kenderaan dan mengakibatkan kemalangan," katanya.
Akibat daripada impak pelanggaran tersebut, tembok dinding tempat letak kereta bertingkat runtuh dan menimpa sebuah kenderaan lain yang sedang bergerak di jalan utama berhampiran lokasi kejadian.
Namun, kesemua mereka selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, kes ini masih disiasat lebih lanjut oleh Bahagian Trafik, IPD Sepang.