Selain ‘Tall & Handsome’, Ini 7 Lagi Persamaan Di Antara Syed Saddiq & Khairy Jamaluddin

Kedua-dua mereka sukakan kucing.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mencatat sejarah dengan menjadi Menteri termuda pernah dilantik dalam Kabinet Malaysia

Image via Rojak Daily

Syed Saddiq yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan telah tiba di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama timbalannya Steven Sim Chee Keong pada jam 8.42 pagi tadi, 3 Julai, bagi memulakan tugas mereka.

Ketibaan mereka disambut baik oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali, staf KBS dan juga mantan Menteri Belia dan Sukan itu sendiri, Khairy Jamaluddin, atau lebih mesra dipanggil KJ.

Sesi serah tugas Khairy Jamaluddin dan timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan

Image via Rojak Daily

Pelantikan Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan sememangnya mendapat sokongan Ahli Parlimen Rembau tersebut dan boleh dilihat melalui interaksi mereka berdua dalam laman Twitter masing-masing







KJ dan Syed Saddiq bukan sahaja terbaik dalam sikap professionalism mereka dalam menyokong satu sama lain bahkan mereka turut mempunyai beberapa persamaan lain

Berikut adalah persamaan di antara KJ dan Syed Saddiq:

1. Merupakan Menteri muda semasa pelantikan

KJ dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2013 ketika usianya masih muda iaitu 37 tahun. Syed Saddiq pula dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan pada usia 25 tahun, sekali gus merupakan Menteri dan ahli Kabinet yang termuda di Malaysia.


2. Merupakan Ketua Pemuda dalam parti masing-masing

KJ merupakan ketua bagi sayap pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dari tahun 2009 hingga Jun 2018 manakala Syed Saddiq adalah Ketua Pemuda Angkatan Bersatu Anak Muda atau ARMADA yang merupakan sayap muda dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

3. Persamaan mengenai Oxford University, United Kingdom

KJ mendapat pendidikan di St Hugh's College dan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) di Oxford University. Beliau kemudiannya menyambung Ijazah Sarjananya dalam Teori Perundangan dan Politik di University College London di United Kingdom.

Syed Saddiq pula adalah lulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), tetapi telah menolak untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Oxford University dalam bidang Dasar Awam untuk bergiat aktif dalam politik Malaysia.

4. Penganugerahan di luar negara

KJ pernah dipilih sebagai Pemimpin Global Muda oleh Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

Syed Saddiq pula telah meraih anugerah Pendebat Terbaik (kategori English as Second Language, ESL) di kejohanan Australasia, Cambridge dan Oxford InterVarsities selama 3 tahun berturut-turut dari tahun 2012 hingga 2014 di United Kingdom. Beliau juga adalah individu Asia pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim untuk Cambridge InterVarsities di UK dan merupakan Ketua Hakim bagi Kejohanan Debat Universiti Dunia di Belanda.

5. Pencinta kucing

Dapat dilihat dalam gambar diatas ialah KJ bersama kucingnya, Olaf. Syed Saddiq pula dilihat mengambil swafoto dengan kucingnya Pablo.

6. Aspek ketenteraan

Pada Mei 2010, KJ muncul sebagai sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan Pelatih Akademik Terbaik Kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 1/2010 Rejimen 508 Askar Wataniah dan kemudiannya ditauliahkan pangkat Kolonel pada Oktober 2013. Pada Januari 2015, beliau dinaikkan pangkat kepada Brigadier Jeneral sebelum menjadi Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat Askar Wataniah pada tahun 2016, menjadikan beliau Menteri Kabinet pertama yang dianugerahkan pangkat tentera berikutan pelbagai kursus yang dianjurkan oleh Tentera Darat.

Syed Saddiq pula mendapat pendidikan ketenteraan sejenak di Maktab Tentera Di-Raja atau Royal Military College (RMC) selepas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

7. Menghiasi kulit muka hadapan majalah Maskulin

KJ telah menghiasi kulit muka hadapan majalah tersebut pada keluaran Januari 2012. Syed Saddiq pula muncul di kulit muka hadapan majalah itu pada keluaran bulan ini iaitu Julai 2018.

Semoga kedua-dua mereka mampu bekerjasama dalam memperkasakan golongan belia dan memartabatkan sukan di negara Malaysia!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment