Polisi Baru Bagasi 7kg AirAsia Jadi Kontroversi, Ini Perkara Yang Anda Perlu Tahu
"Kalau begitu, lebih baik tukar kepada penerbangan lain," kata netizen.
Minggu lepas, AirAsia telah mengumumkan polisi baru dimana bagasi penumpang tidak boleh melebihi 7kg
Sebenarnya, peraturan ini telah pun dikenakan sejak dua tahun lepas tetapi tiada tindakan serius yang diambil kepada penumpang sehinggalah mereka mula memperketatkan semula peraturan ini pada minggu lalu.
Polisi baru ini memaklumkan bahawa penumpang hanya boleh membawa satu bagasi yang tidak melebihi ukuran saiz (56cm x 23cm x 26cm) dan barang peribadi yang kecil seperti komputer riba ataupun beg tangan. Berat kedua-dua barang ini mestilah tidak melebihi 7kg.
Sekiranya bagasi melebihi berat yang telah dimaklumkan, penumpang akan dikenakan denda sebanyak RM200 dan bagasi itu akan diambil untuk didaftarkan sebagai checked baggage.
Namun, ramai masyarakat tidak gembira dengan pertukaran polisi baru ini
Ramai daripada penumpang setia AirAsia tidak berpuas hati dengan polisi baru ini. Terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan backpackers, ramai diantara mereka yang menyatakan bahawa polisi baru ini akan menyusahkan penerbangan dan merumitkan lagi keadaan di lapangan terbang.
"Ini yang akan terjadi apabila AirAsia menguatkausakan polisi 7kg untuk dua bagasi. Bagi mereka yang ingin menaiki penerbangan, anda perlu berada di KLIA 2 empat jam lebih awal"
Semalam, seorang pengguna Facebook yang bernama James Boon telah memuat naik sebuah gambar dimana beliau telah berkongsi situasi sesak yang berlaku di KLIA 2. Beliau berpendapat bahawa polisi baru yang diperketatkan oleh AirAsia ini akan membuat lagi keadaan di lapangan terbang bertambah teruk.
Dalam gambar tersebut, keadaan menunjukkan kesesakan telah berlaku di kaunter bagasi di mana para penumpang mengambil masa yang lama untuk mendaftar bagasi mereka.
Jadi, kalau undang-undang ini diperketat, boleh bayangkan apa akan terjadi?
Untuk makluman, bukan AirAsia sahaja yang melaksanakan polisi ini. Sebenarnya, bagasi 7kg ini merupakan prosedur standard bagi kebanyakan syarikat penerbangan lain.
SAYS sempat menghubungi pihak AirAsia bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan polisi ini
Menurut AirAsia, staf mereka sedia berkhidmat bagi membantu memudahkan urusan para penumpang ketika urusan mendaftar masuk bagasi di kaunter.
Mereka juga mengingatkan para penumpang agar tiba lebih awal di lapangan terbang, sekurang-kurangnya 3 jam sebelum jadual penerbangan.