13 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Lelaki Nekad Tahan Konvoi Sultan Pahang Demi Keluarga

Tak dapat nak bayangkan 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik. Terima kasih Sultan Pahang!

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang lelaki sanggup mengambil risiko menahan konvoi kenderaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi menyampaikan satu permintaan yang sudah dipendam hampir 13 tahun

Kejadian menyentuh hati itu berlaku ketika baginda dalam perjalanan melalui Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, apabila lelaki berkenaan bersama isteri dan anaknya bertindak menunggu di tepi jalan sebelum menahan konvoi diraja bagi mendapatkan perhatian Sultan Pahang.

Tindakan tersebut berjaya apabila Al-Sultan Abdullah memperlahankan kenderaan dan berhenti untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi keluarga itu.

Menerusi rakaman video yang tular di TikTok, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa keluarganya telah hampir 13 tahun hidup tanpa bekalan elektrik di kediaman mereka.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu mereka hanya bergantung kepada tenaga solar dan bateri kereta untuk mendapatkan bekalan elektrik asas bagi meneruskan kehidupan seharian.

Dalam pertemuan ringkas tersebut, lelaki berkenaan turut menyerahkan surat permohonan bekalan elektrik secara terus kepada baginda dengan harapan masalah yang dihadapi keluarganya dapat diberi perhatian.

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap nasib rakyat sekali lagi terserlah apabila permohonan tersebut dilaporkan mendapat kelulusan pada hari yang sama.

Difahamkan, proses seterusnya kini hanya melibatkan kerja pemasangan tiang dan meter elektrik sebelum keluarga berkenaan dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik seperti kediaman lain

Perkongsian video itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang tersentuh dengan kesukaran hidup keluarga tersebut, selain memuji sikap Sultan Pahang yang sanggup berhenti dan mendengar sendiri rintihan rakyat.

Ramai menyifatkan tindakan baginda sebagai contoh pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa cakna terhadap kesusahan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Bayangkan 13 tahun hidup tanpa elektrik, kita tak ada bekalan beberapa jam pun sudah rasa susah," tulis seorang pengguna media sosial.

Lihat video di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

SAYS.com
Image via SAYS SeismikImage via