seismik

Media Prima Saji Lebih 20 Rancangan Menarik Sepanjang Ramadan 2019. Semua Pun Best!

Ramadan tak akan bosan dengan program-program ini.

Cover image via Setulus Ikhlas

Sempena bulan Ramadan 2019 ini, pasti korang tertunggu-tunggu program-program menarik di televisyen, bukan?

Justeru itu, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTM) bakal menghidangkan pelbagai program menarik yang bertemakan ‘Setulus Ikhlas’ istimewa buat seluruh rakyat Malaysia.

Menariknya, anda akan disajikan dengan variasi program seperti keagamaan, gaya hidup, drama dan telefilem. Jadi, jangan lupa manfaatkan bulan Ramadan korang dengan menonton semua program ini ya!

Program Raudhah Ramadan

Image via Setulus Ikhlas

1. Jejak Rasul Ulul Azmi

Program ini akan menampilkan hos Fedtri Yahya dalam perjalanannya menjejaki sejarah Nabi Musa A.S di sekitar Mesir, merungkai hubungan di antara Nabi Musa dan Firaun Ramses II dalam Jejak Rasul Ulul Azmi. Jejak Rasul Ulul Azmi juga akan memaparkan peralatan bersejarah di era Nabi Musa dan juga keindahan Mesir. Ia bakal bersiaran bermula 3 Mei – 2 Jun, Jumaat hingga Ahad jam 6.30 petang.

2. Sahabat Backpackers

Pengembaraan empat Da’i muda menjelajah dan meneroka keindahan negara islam di Indonesia, Turki dan Sepanyol  secara ‘backpackers’! Da’i Raisyah & Da’i Syafiqah akan ke Acheh. Da’i Imran mengembara di Turki, sementara Da’i Haziq pula ke Sepanyol dalam usaha mereka merakamkan pengalaman dan kenangan bersama komuniti Islam di sana.

Setiap episod dilengkapkan juga dengan bait-bait ayat suci Al-Quran dan tips mengembara secara “backpacking”. Siaran akan bermula pada 28 April –  2 Jun setiap hari Ahad jam 6 hingga 6.30 petang.

3. Tanyalah Ustaz: Menghayati Firman-Nya

Istimewa Tanyalah Ustaz: Menghayati Firman-Nya ini adalah siri yang akan bersiaran selama 30 episod sepanjang Ramadan dan memfokuskan hanya mengenai kandungan kitab Al-Quran dan membincangkan secara lebih teliti mengenai kelebihan dan taddabur ayat. Setiap episod akan menampilkan seorang Da’i dan seorang Ustaz terkenal yang akan bermula siaran pada 6 Mei – 4 Jun setiap hari, pada pukul 6.30 pagi.

Program Gaya Hidup Ramadan

1. Jom Berbuka

Korang boleh saksikan gelagat selebriti terkenal Malaysia dalam membuat persediaan untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan ketahui juga perkembangan terkini mereka dalam Jom Berbuka. Antara barisan selebriti yang terlibat seperti Aesyah London, Siti Sarah & Shuib , Atu Zero & Family, Achey & Family, Wany Hasrita, Wani, Afieq Shazwan, Tajul (1 episod) and Rita Rudaini & kids. Program ini akan mula disiarkan pada 27 April hingga 1 Jun setiap hari Sabtu pada pukul 5.30 petang hingga 6.00 petang.

2. Pesan Makan

Setelah kejayaan Pesan Makan musim pertama di ntv7 tahun lalu, Pesan Makan kembali dengan musim kedua di TV3! Pesan makan mengisahkan dua adik beradik yang mempunyai idea untuk memulakan perniagaan di atas talian dan mengharungi pelbagai rintangan. Ikuti kisah drama komedi yang menampilkan Shuk Hot Fm dan Qistina Raisah sebagai adik kandungnya. Adakah di musim kedua ini, kita dapat saksikan Shuk bakal berkahwin dengan Elly Mazlein?

Rancangan ini akan menampilkan artis jemputan seperti Fahrin Ahmad, Naim Daniel, Ropie, Syamel, Erni Zakri & Elisha Sanda. Ia akan disiarkan pada 27 April – 1 Jun setiap hari Sabtu, jam 6.00 petang.

3. 1,2 Bakar Kuih Raya

Image via Setulus Ikhlas

Chef Anis Nabilah kembali lagi dengan sentuhan masakanya bersama rakan-rakan yang terkenal untuk menikmati masakan yang dihidangkan. Tetapi pada kali ini makanan akan lebih fokus kepada membuat kuih raya dan hidangan hari raya yang istimewa. Antara rakan artis yang terlibat seperti Kaka Azraff, Saharul Ridzwan, Ben Amir, Daiyan Trisha, Altimet dan Zara Zya. Waktu siaran akan bermula pada 28 April – 2 Jun setiap hari Ahad jam 11.30 pagi.

4. Apa Nak Makan Ni?

Antara soalan yang paling susah untuk dijawab apabila ditanya ialah “Apa Nak Makan Ni? “ Dengan adanya Chef Naem, masalah tersebut dapat diselesaikan dengan memasak di lokasi terpilih di sekitar kawasan Lembah Klang. Ditemani oleh rakan artis untuk membantu di bulan Ramadan sambil tolong memberi makanan kepada orang ramai yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk pulang berbuka di rumah! Antara rakan artis yang akan mewarnai program ini seperti Azreal Ismail, Ben Laden, Elly Mazlein, Khai Bahar, Noor Khiriah, Akhmal Nazri. Ia akan mula disiarkan pada 28 April hingga 2 Jun setiap hari Ahad pada jam 5.30 hingga 6.30 petang.

5. Sembang Sahur

Image via Setulus Ikhlas

Sebuah program bual bicara santai sempena Ramadan dengan perbincangan topik-topik menarik bersama tetamu jemputan. Dapatkan juga resepi-resepi menarik untuk bersahur dan segmen Singgah Sahur di mana hos dan artis akan bersama-sama menziarahi keluarga-keluarga terpilih untuk bersahur bersama-sama mereka. Antara selebriti yang terlibat dalam rancangan ini seperti Dayah Bakar, Shuk Sahar, Haziq Husni, Hanif Miswan, Teh Syuhaida, Zack Merican. Ia akan disiarkan bermula 23 April – 29 Mei, Selasa & Rabu, jam 11.00 malam.

Drama Rantaian Ramadan

1. LESTARY : Pia

Image via Setulus Ikhlas

Drama ini mengisahkan tentang Pia yang tersepit di antara tugasnya sebagai seorang isteri dan tanggungjawabnya terhadap adiknya yang kurang upaya. Selepas kedua ibu bapanya terbunuh angkara dadah, Pia djaga oleh Pak Long Mat. Pia mempunyai seorang adik yang cacat akibat cerebal palsy bernama Budi. Zafran, rakan mengaji Pia menyukai Pia sejak dari kecil hinggalah dewasa. Zafran tinggal bersama bapa dan ibu saudaranya, Ila yang bisu. Ila selalu memerhatikan gerak geri Zafran dan tahu akan perkembangan cinta Zafran dan Pia.

Ila cuba menghalangnya. Zafran kemudian menyambung pengajiannya ke luar negara namun masih meneruskan hubungannya dengan Pia. Setelah pulang semula ke tanah air, meraka berkahwin walaupun tidak direstui Ila. Nasib tidak menyebelahi Pia apabila Zafran membuat keputusan untuk menghantar Budi ke pusat penjagaan kerana mahu Pia memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Lama-kelamaan sifat Zafran mula berubah dan menambahkan lagi kesengsaraan di hati Pia. Jangan lupa saksikan pada 3 Mei – 6 Jun, Rabu hingga Jumaat jam 9.00 malam.

2. Iktibar

Penjara merupakan sebuah tempat yang semua orang ingin elakkan. Namun kepada mereka yang pernah menjadi penghuni di situ, tempat itu banyak memberi pengalaman dan melahirkan keinsafan. Drama bersiri ini akan memaparkan inspirasi kisah daripada para banduan dan pekerja dalam penjara. Setiap episod akan memaparkan kisah-kisah yang berbeza dari kacamata warden penjara, doktor, ustazah, pegawai psikologi, Guru Jahit, guru bakeri dan lain-lain.

Kisah-kisah ini diambil berdasarkan kes-kes seperti membuli sehingga mati, mencuri kerana hutang, samun bersenjata, bunuh tanpa niat, langgar sehingga mati, tetak bapa dan lain-lain. Matlamat cerita ini untuk menyingkap jenayah yang dilakukan banduan dan memberi keinsafan agar tidak melakukan jenayah. Walaupun masing-masing mempunyai kerjaya yang hebat, tetapi ada ujian disebaliknya yang masyarakat di luar sana perlu ambilnya sebagai IKTIBAR. Jangan lupa saksikan pada 4 Mei -27 Julai, Sabtu jam 9.00 malam.

3. IRIS: Ajak Oh Ijal

Image via Setulus Ikhlas

Razak dan Rizal merupakan adik beradik yang menjalankan kegiatan haram di Kuala Lumpur. Setiap kali menjelang Ramadan mereka berdua akan pulang ke kampung dan membantu ibunya menjual ayam bakar di bazar Ramadan. Mereka yang sentiasa bertelagah berjanji untuk berbaik sepanjang Ramadan namun janji itu tidak dapat ditepati apabila mereka jatuh cinta kepada orang yang sama. Pelbagai cara dilakukan mereka untuk merebut hati Amani.

Pak Hassan akan membenarkan salah seorang daripada mereka untuk keluar dengan Amani, tetapi dengan pelbagai syarat. Kedua mereka berusaha untuk memenuhi syarat yang ditetapkan dengan melakukan terawih, bergotong–royong dan melakukan pelbagai kebaikan demi memenangi hati Pak Hassan dan Amani.  Jangan lupa saksikan pada 6 Mei, Isnin hingga Rabu jam 6.30 petang.

4. AKASIA : 30 Pesanan Suara

Image via Setulus Ikhlas

Mengisahkan tentang tiga sekawan yang sangat rapat, Iman, Syafira dan Amri. Suatu hari, dalam sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan antara Syafira dan Iman, Syafira telah tersalah hantar pesanan suara kepada rakan lelakinya, Amri yang sepatutnya dihantar kepada tunangnya, Iman. Namun, jodohnya tidak kesampaian apabila Iman meninggal kerana serangan asma dan lemas di kawasan air terjun beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan mereka.

Disebabkan sudah jatuh cinta dengan keayuan dan kelembutan Syafira melalui mesej yang disampaikan melalui pesanan suara tersebut, Amri telah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Syafira demi rasa sayang dan tanggungjawab untuk menjaga Syafira. Jangan lupa saksikan pada 6 Mei, jam 7 petang.

5. SAMARINDA: Cari Aku Di Syurga

Image via Setulus Ikhlas

Anas dan Lisa merupakan pasangan kekasih yang saling mencintai di antara satu sama lain walaupun mereka datang daripada dua latar belakang yang sangat berbeza. Ibu Lisa menentang hubungan mereka kerana merasakan Anaz tidak setaraf dengan mereka dan mahu menjodohkannya dengan Dr. Arsyad. Lisa nekad melarikan diri dari rumah dan terus bernikah dengan Anas. Perkahwinan mereka mula diuji apabila Lisa yang tidak biasa hidup susah terpaksa melalui kedaifan hidup. Setelah melahirkan anak mereka yang pertama, Suri, Lisa terus meminta cerai dari Anas kerana ingin kembali kepada kehidupan lamanya yang mewah.

Anas terus membesarkan Suri bersama isteri barunya, Mira. 6 tahun kemudian, Lisa yang sudah berkahwin dengan Dr. Arsyad kembali menuntut hak penjagaan ke atas Suri. Pada masa yang sama, Anas telah mengalami kemalangan yang mengakibatkan ganguan kepada daya ingatannya. Kemuncak bermula apabila Suri terpaksa mengikut Lisa kerana Anas yang tidak mampu mengingati bahawa Suri merupakan anaknya. Drama ini akan bersiaran bermula 6 Mei jam 10 malam dan membariskan pelakon seperti Janna Nick, Aeril Zafril, Mimi Lana, Duerra Matilda.

5. Diari Ramadan Rafique Reunion

Image via Setulus Ikhlas

Rafique masih bujang dan menetap dengan nenek di kampung. Rafique membuka bengkel membaiki kereta di kampungnya secara kecil-kecilan. Maisara yang kini telah berusia 19 tahun, sedang melanjutkan pelajaran di sebuah Universiti tempatan. Nenek yang kesunyian dengan terletah kanak-kanak kecil mengambil upah menjaga 4 orang anak-anak kejiranan yang mana kedua ibu dan bapa mereka bekerja.

Daripada 4 orang kanak-kanak yang dijaga oleh nenek, salah seorang dari mereka yang bernama Sadique mempunyai tabiat atau berperangai “copy paste” sama seperti perangai Rafique sewaktu kecil dahulu, iaitu nakal dalam diam dan sering menjadi mangsa keadaan. Ramadan kini tiba lagi, Rafique melihat sikap Sadique sama sepertinya sewaktu kecil. Rafique yang cuba menjadikan “DIARI SEWAKTU DIA MASIH KECIL” sebagai sumber rujukan, tetapi dia silap, zaman telah berubah, kenakalan kanak-kanak zaman kini tidak lagi seperti zamannya dahulu. Jangan lupa saksikan pada 12 Mei, Ahad jam 9 malam.

Telefilem Ramadan

Image via Setulus Ikhlas

1. Anak Syurga

Perkahwinan Ikmal dan Azah tetap diteruskan meskipun tidak mendapat restu dari Nani. Setelah beberapa kali mengalami keguguran akhirnya Azah disahkan mengandung. Kehadiran Adam memberi kebahagiaan dalam keluarga mereka. Namun kebahagiaan itu hanya sementara apabila Adam disahkan mengalami autism. Ikmal mula mengabaikan Adam dan rumah tangga mereka mula goyang. Pak Sahak yang bekerja sebagai tukang cuci di syarikat Ikmal perasan tentang perubahan Ikmal dan sering menasihati Ikmal. Suatu hari Ikmal bertembung dengan Pak Sahak di tepi jalan kerana motornya rosak ketika baru pulang dari membeli hadiah untuk anak-anaknya. Ikmal menumpangkan Pak Sahak hingga ke rumahnya. Jangan lupa saksikan pada 5 Mei, Ahad jam 10.00 malam.

2. Kasih Ibu

Kisah mengenai Nil, yang dikenali sebagai budak bermasalah di sekolahnya. Ibunya Zaitun pula tidak mempedulikan nasihat guru dan menyebelahi anaknya. Akhirnya Nil dimasukkan ke sekolah juvana beberapa bulan sebelum SPM kerana kes memukul Kimi, sehingga meninggal dunia. Walaupun telah dibebaskan daripada sekolah juvana, Nil tidak berubah malah sikapnya lebih teruk. Nil menjadi penjenayah diburu pihak polis. Nil menjadi pelarian kerana takut akan hukuman berat yang bakal dihadapi. Namun akhirnya, Nil ditangkap polis dan disabitkan kesalahan. Sebelum hukuman dijatuhkan, Nil membuat ucapan terakhir kepada ibunya ‘terima kasih ibu kerana tidak pernah menegur salah dan silapnya. Zaitun terkesan dengan kata-kata Nil dan menyesal dengan tindakannya selama ini kerana terlalu memanjakan Nil. Jangan lupa saksikan pada 11 Mei, Sabtu jam 10.00 malam.

3. Maaf Dari Khilaf

Hasrat Bakar dan Salimah untuk memiliki zuriat tidak kesampaian apabila Salimah mengalami keguguran berpunca daripada kejadian pembuangan sampah oleh penduduk flat. Akibat terlalu kecewa kerana penantian zuriat sekian lamanya, namun berakhir dengan kejadian tragis. Bakar tekad untuk mencari siapa yang melakukan perkara tersebut sehingga mahu membakar flat itu. Pada masa yang sama, jiran mereka Rosnah berasa amat bersalah kerana dia tahu ini semua adalah salahnya. Dia yang meminta anaknya Nadia membuang sampah pada hari itu dan sudah menjadi kebiasaan untuk penduduk flat di situ membuang sampah dari tingkat atas. Nadia akhirnya membuat pengakuan dengan menulis surat kepada Salimah menyatakan segala yang terjadi adalah salahnya. Jangan lupa saksikan pada 12 Mei, Ahad jam 10.00 malam.

4. Cinta Sesungguhnya

Image via Setulus Ikhlas

Keikhlasan cinta Razlan terhadap Farisha mengatasi segalanya sehingga dia tekad untuk menjadikan Farisha sebagai isteri walaupun ditentang oleh ibunya, Norlia. Farisha adalah penghidap paranoid schizophrenia iaitu sejenis mental disorder yang serius. Mereka disatukan juga walaupun tanpa restu daripada ibu Razlan. Razlan tekad untuk membantu Farisha untuk pulih malah dia akan memastikan Farisha mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan supaya dia tidak mengalami delusi.

Razlan merujuk permasalahan Farisha kepada bekas kekasihnya, Azlina yang merupakan pakar psikitrik. Farisha mula tidak selesa dengan hubungan Razlan dan Azlina. Satu hari Farisha mengamuk dan hampir mencederakan suaminya. Razlan yang selama ini menafikan bahawa gangguan emosi Farisha ditahap yang membahayakan terpaksa redha dan menempatkan Farisha di hospital sakit jiwa. Namun setiap hari dia akan menjenguk isterinya di hospital dan masih setia dengan cintanya. Jangan lupa saksikan pada 18 Mei, Sabtu jam 10.00 malam.

5. Sinar Ramadan Untuk Amanda

Sofea telah dihalau ibu mertuanya kerana melahirkan anak sindrom down, Amanda dimana ketika itu suaminya, Idham terlibat dalam kemalangan jalan raya dan menyebabkan hilang ingatan. Sofea telah membesarkan Amanda seorang diri dengan pelbagai dugaan menimpa apabila suaminya telah berkahwin lain kerana Idham tidak mengingati bahawa dirinya pernah berkahwin. Apabila ingatan Idham kembali pulih,  Sofea telah difitnah curang sehingga diceraikan. Sofea nekad membesarkan anak istimewanya sehingga menjadi penaung bagi persatuan anak-anak istimewa. Jangan lupa saksikan pada 19 Mei, Ahad jam 10.00 malam.

6. Geng Van Jenazah

Husin merupakan pemandu van jenazah bersahabat baik dengan Mail. Suatu hari Husin menerima panggilan untuk mengambil jenazah Pak Tam yang meninggal dunia akibat makan durian. Dalam perjalanan menghantar Pak Tam ke kampung asalnya, Mail menerima panggilan daripada kekasihnya, Sharifah yang ingin berjumpa kerana dipaksa bertunang dengan orang lain. Kerana kesuntukan masa Sharifah dibawa bersama, dan mereka menggunakan jalan pintas. Tetapi dalam perjalanan tayar van pancit dan kemudian tayar van terbenam.   Mereka bertiga terkejut kerana jenazah Pak Tam tiba-tiba bangun dan sedang menikmati buah durian, Husin, Mail dan Sharifah lari bertempiaran. Akhirnya misteri jenazah Pak Tam terungkai setelah mereka melalui pelbagai halangan. Jangan lupa saksikan pada 25 Mei, Sabtu jam 10.00 malam.

7. Tiga Lima

Halim,12, baru kematian ayahnya, Daud. Daud meninggal akibat kemalangan di kilang tempat kerjanya. Kini ibunya, Hasnah perlu menyara mereka berdua. Hasnah terjumpa buku tiga lima Daud yang tercatat hutang piutang Daud yang masih belum dilangsaikan. Hasnah berhempas pulas mencari wang untuk melangsaikan hutang arwah suaminya. Halim yang melihat kesusahan ibunya itu nekad mencari duit demi menyara mereka. Sewaktu Halim ke Masjid, Halim terdengar ceramah Ustaz Zali, menyampaikan mengenai orang yang meninggal tanpa sempat melunaskan hutang, maka orang itu tidak dapat masuk syurga. Lantas, Halim mula mengerah tenaga untuk mencari wang dengan melakukan pelbagai kerja sambilan namun sering difitnah bahawa duit yang dia dapat itu adalah duit dari hasil kerja haram. Jangan lupa saksikan pada 25 Mei, Sabtu jam 10.00 malam.

8. Masihkah Ada Raya Buatku

Image via Setulus Ikhlas

Zul tidak lagi menyambut Hari Raya semenjak isterinya, Linda mengidap strok dan lumpuh separuh badan. Kehidupan Zul ditumpukan sepenuhnya bagi menjaga isteri dan membesarkan anak-anaknya di samping melakukan pelbagai pekerjaan harian demi menyara keluarganya. Sesekali Linda teringin untuk berpuasa seperti dulu, tetapi Zul tidak mengizinkan kerana risau menjejaskan kesihatan Linda. Sehinggakan Zul adakalanya mengeluh dan merasakan isterinya hanya perlu duduk di rumah agar tidak menyusahkannya dan anak-anak.

Namun, anak-anaknya yang masih kecil tidak memahami penderitaan yang dialami Zul dan mereka cuba mengembalikan kemeriahan raya walaupun dilarang tegas oleh ayah mereka. Namun tanpa disedari sebenarnya Linda teringin untuk menikmati suasana raya bersama Zul dan anak-anak sama seperti dulu. Akhirnya, anak-anaknya berjaya membuat Zul berubah fikiran dan menerima hakikat bahawa kecacatan isterinya bukannya sebagai beban dan mereka juga layak untuk merasai kemanisan Ramadan dan keindahan Syawal. Jangan lupa saksikan pada 1 Jun, Sabtu jam 10.00 malam.

9. Ayyad Aisyah

Ayyad, 12, merupakan seorang kanak-kanak lembam. Dia cenderung kepada aktiviti berkebun dan meminati bola sepak namun tidak ada kanak-kanak yang mahu bermain dengannya. Ayyad mempunyai seorang adik perempuan, Aisyah, 8. Ayyad sanggup melakukan apa sahaja untuk adiknya begitu juga dengan Aisyah sanggup mempertahankan abangnya setiap kali dibuli. Kehidupan mereka mula dilanda duka apabila mereka dipisahkan setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Mereka terpaksa melalui pelbagai keperitan. Aisyah sentiasa merindui abangnya sehingga dia mengambil tindakan untuk melarikan diri dari rumah keluarga angkatnya untuk mencari abangnya semula. Kasih sayang yang utuh antara mereka berdua, akhirnya menyatukan mereka kembali. Jangan lupa saksikan pada 2 Jun, Ahad, jam 10.00 malam.

Segalanya di Rangkaian Televisyen Media Prima!

Image via Setulus Ikhlas

Jangan lupa saksikan semua rancangan-rancangan menarik ini sepanjang bulan Ramadan nanti. Beritahu kawan-kawan dan ahli keluarga korang sekali okay!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Setulus Ikhlas 2019 memang meriah!

You may be interested in: