Raja Bomoh, Oh Raja Bomoh. Kalau Sekarang Main Golf, Lepas Ni Apa Lagi?
"Saya diberitahu ada empat Hantu Raya dihantar untuk membunuh Anwar."
Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP datang lagi! Kali ini di tempat letak kereta Penjara Sungai Buloh pula. Tujuannya adalah untuk menghalau "Hantu Raya" yang didakwa bakal membunuh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam penjara.
Seperti biasa, Raja Bomoh memulakan upacaranya dengan "teropong sakti" beliau, barangkali untuk mengesan jejak makhluk ghaib yang disebutnya itu
Upacara Raja Bomoh bagai tidak sah tanpa kehadiran buah kelapa. Beliau melagakan dua biji buah kelapa di kedua-dua tangannya beberapa kali sambil mengucap kalimah "Allahuakbar."
Raja Bomoh kemudian duduk sebentar untuk berdoa agar Anwar Ibrahim dijauhkan dari segala kejahatan dan diberi perlindungan serta kekuatan untuk meneruskan kehidupan
Untuk upacara penamat, Raja Bomoh memukul empat biji buah limau untuk menghalau dan membunuh 4 "Hantu Raya" yang dihantar untuk mengganggu Anwar
Raja Bomoh sebenarnya begitu kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman terhadap Anwar Ibrahim. Ini komen beliau:
Tindakan Raja Bomoh ini benar-benar menjatuhkan maruah agama Islam. Persoalannya sekarang, kenapa beliau masih bebas? Dimana pihak berkuasa? Kenapa beliau tidak dikenakan apa-apa tindakan?
Dalam pada itu, pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, dakwaan Ibrahim yang menyifatkan ada serangan ilmu hitam yang mahu membunuh Anwar Ibrahim di dalam penjara itu adalah syirik semata-mata
"Saya ingat Raja Bomoh ini sudah syirik. Tangkap sahaja dia ini. Jabatan Agama Islam jangan ambil masa lebih lama untuk menangkap individu ini. Dia sudah lama bebas dan semakin lama dia dibiarkan begini, entah apa lagi perbuatan syirik yang akan dibuat...memalukan serta merosakkan akidah."
"Jalankan tugas seperti yang dibuat kepada Ayah Pin atau Tuhan Haron, ia akan menutup kelemahan dan kepincangan agensi penguatkuasa agama yang mungkin diperkatakan masyarakat kerana lambat menahan Ibrahim."
"Kita ada 14 mufti dan semuanya harus sepakat untuk mengeluarkan arahan penangkapan Ibrahim seharusnya selepas menggemparkan negara kerana ritual mencari MH370 dahulu," tegasnya.
Md Daud turut memberitahu, selepas ditangkap, Raja Bomoh dicadang dimasukkan ke dalam sel yang sama dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh bagi menyenangkan urusannya menjaga Anwar
"Dia boleh jaga Anwar sepanjang masa, buat ritual kelapa, teropong dan apa sahaja yang boleh untuk menjaga 'kawan sebiliknya'."
"Saya tidak pernah lihat bomoh pakai tali leher seperti Ibrahim ini, agaknya Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pun boleh tertawa jika melihat Ibrahim ini," jelasnya.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mohd Zain pula berkata sepatutnya sudah lama pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap Raja Bomoh yang melakukan perkara-perkara khurafat
"Bila tidak ada sebarang siasatan dan tindakan diambil maka raja bomoh ini terus mempromosikan diri dan amalan khurafatnya secara berleluasa. Raja bomoh ini berani mempromosikan amalan-amalan khurafat ini mungkin kerana ada VVIP dibelakangnya, yang percaya dengan perkara-perkara yang dilakukan."
"Ibrahim ini menuduh pihak lain melakukan khurafat, konon guna ilmu hitam terhadap Anwar tetapi sebenarnya dia yang lakukan khurafat. Apa yang dilakukan di luar penjara Sungai Buloh, guna kayu golf itu semua, jelas satu kesalahan yang bercanggah dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.