Rumah Bawah RM300K Banyak Masih Tak Terjual, Ini Sebab Yang Ramai Tak Tahu

Banyak faktor rupanya.

Enlarge text
Cover ImageCover image via PR1MA & PropertyGuru Malaysia

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Rumah bawah RM300,000 sepatutnya menjadi antara pilihan paling mampu milik buat rakyat Malaysia

Tapi realitinya agak mengejutkan.

Menurut laporan The Edge Malaysia, Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan sebanyak 14,201 unit kediaman siap dibina masih belum terjual setakat suku pertama 2026.

Kesemua unit itu bernilai kira-kira RM2.77 bilion, sekali gus menyumbang 43.3% daripada keseluruhan stok kediaman siap dibina yang tidak terjual di Malaysia.

Sebahagian besar unit berkenaan tertumpu di Lembah Klang, Johor dan Perak. Jadi, persoalannya, kalau harga rumah ini dikategorikan sebagai mampu milik, kenapa masih ramai yang tidak membelinya?

Menurut Pengarah Kanan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co Chestertons, Sulaiman Saheh, jawapannya bukan sekadar kerana harga.

SAYS.com
Image via The Edge Malaysia

1. Rumah murah tak semestinya benar-benar mampu milik

Menurut Sulaiman, isu kemampuan memiliki rumah sebenarnya lebih kompleks daripada sekadar meletakkan tanda harga di bawah RM300,000.

Lokasi, reka bentuk rumah, kemudahan sekeliling dan gaya hidup pembeli turut memainkan peranan.

Sebagai contoh, rumah yang murah tetapi terletak jauh dari tempat kerja, sekolah, kedai dan pengangkutan awam akhirnya boleh menjadi mahal dari sudut kos kehidupan harian.

Malah, jika seseorang terpaksa memandu jauh hanya untuk membeli barangan keperluan asas, rumah itu mungkin murah atas kertas tetapi belum tentu 'mampu milik' dalam kehidupan sebenar.

2. Banyak projek dibina ketika permintaan sedang rancak

Sulaiman berkata, sebahagian daripada lebihan unit hari ini berpunca daripada kitaran hartanah yang rancak pada awal 2000-an. Ketika itu, sektor hartanah berkembang pesat dan proses urbanisasi meningkatkan permintaan terhadap kediaman.

Apabila satu projek dilihat berjaya, pemaju lain turut membina projek yang hampir sama. Masalahnya, apabila semua projek itu dilihat secara keseluruhan, jumlah bekalan akhirnya melebihi permintaan sebenar.

SAYS.com
Image via PropertyGuru Malaysia

3. Lokasi tak kena dengan keperluan pembeli

Bagi Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Real Estate Sdn Bhd, Tang Chee Meng, antara punca utama rumah mampu milik tidak terjual ialah lokasi yang tidak sesuai.

Ada projek yang dibina terlalu jauh daripada tempat kerja, sekolah, pusat membeli-belah dan pengangkutan awam.

Lebih penting, sesetengah keluarga juga bergantung kepada ibu bapa atau ahli keluarga terdekat untuk membantu menjaga anak. Jadi, rumah yang jauh daripada rangkaian sokongan keluarga mungkin kurang menarik walaupun harganya murah.

4. Saiz rumah tak sesuai untuk keluarga

Ada juga rumah yang murah tetapi reka bentuknya tidak benar-benar memenuhi keperluan pembeli.

Contohnya, unit apartmen yang kecil mungkin sesuai untuk individu atau pasangan muda. Namun, ia boleh menjadi kurang praktikal bagi keluarga yang mempunyai anak dan memerlukan lebih banyak ruang.

Lebih-lebih lagi bagi pembeli yang sebelum ini terbiasa tinggal di rumah kampung atau kediaman bertanah dengan ruang lebih luas.

SAYS.com
Image via Rumah Selangorku

5. Ada yang tak mampu sediakan kos awal

Harga rumah RM300,000 tidak bermaksud pembeli hanya perlu menyediakan RM300,000.

Menurut Tang, sebahagian pembeli dalam segmen B40 masih berdepan kesukaran menyediakan wang pendahuluan, perbezaan jumlah pinjaman serta kos sampingan ketika membeli rumah.

Maksudnya, walaupun harga rumah kelihatan rendah, kemampuan kewangan untuk masuk ke pasaran hartanah masih menjadi halangan besar.

6. Isu kuota Bumiputera turut memberi kesan

Tang turut menyentuh mengenai ketidakpadanan kuota Bumiputera bagi sesetengah projek.

Ada kediaman yang ditetapkan untuk memenuhi kuota Bumiputera, namun sambutan daripada pembeli dalam segmen berkenaan tidak seperti yang diharapkan.

Keadaan itu akhirnya menyumbang kepada lambakan unit yang masih belum terjual.

SAYS.com
Image via PR1MA

Jadi, apa sebenarnya masalahnya?

Situasi ini menunjukkan bahawa rumah murah tidak semestinya rumah yang benar-benar mampu dimiliki. Pembeli bukan sekadar melihat angka pada harga jualan.

Mereka turut mengira jarak ke tempat kerja, kos petrol dan tol, akses pengangkutan awam, sekolah anak, kemudahan harian, saiz rumah serta kemampuan menyediakan wang pendahuluan.

Sebab itu, penyelesaian kepada isu rumah mampu milik mungkin bukan sekadar membina lebih banyak rumah bawah RM300,000.

Sebaliknya, rumah yang dibina perlu berada di lokasi yang betul, mempunyai reka bentuk yang sesuai dan benar-benar memenuhi keperluan kehidupan pembeli sasaran.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

SAYS.com
Image via SAYS SeismikImage via
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: