“Saya Tak Pernah Tolak Panggilan Bermain Untuk Harimau Malaya” – Safawi Rasid
Safawi turut menafikan sebarang dakwaan bahawa dirinya sengaja meninggalkan pasukan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pemain sayap Kuching City FC, Safawi Rasid tampil menjelaskan tindakannya meninggalkan kem latihan skuad Harimau Malaya di Guangdong, China lebih awal selepas perkara itu mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan
Menerusi satu hantaran di Threads pada 13 November, pemain berusia 29 tahun itu menegaskan kepulangannya ke tanah air bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya melibatkan urusan peribadi yang tidak dapat dikongsikan secara terbuka.
Safawi turut menafikan sebarang dakwaan bahawa dirinya sengaja meninggalkan pasukan atau pernah menolak peluang untuk mewakili negara sepanjang karier profesionalnya.
Menurutnya, peluang menyarung jersi kebangsaan sentiasa menjadi satu kebanggaan dan penghormatan buat dirinya.

"Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia, ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tak boleh cerita.
"Setakat ini saya tak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya, Alhamdulillah. Sarung baju hitam kuning adalah kebanggaan saya," katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan tanda pagar #familysafetyfirst yang memberi gambaran bahawa urusan keluarga menjadi keutamaan Safawi ketika ini
Menurut laporan Kosmo!, terdahulu, Safawi dilaporkan terpaksa meninggalkan kem latihan Harimau Malaya selepas tiba di Guangdong dan sempat menjalani sesi latihan bersama pasukan.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini mengesahkan pemain berkenaan sudah memaklumkan masalah yang dihadapinya kepada barisan kejurulatihan sebelum diberikan pelepasan untuk pulang ke Malaysia atas urusan keluarga.
Ketiadaan Safawi menyaksikan skuad negara kehilangan seorang lagi pemain menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
Situasi itu turut menambah cabaran buat barisan kejurulatihan yang sebelum ini sudah kehilangan beberapa tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta enam pemain Selangor FC akibat kecederaan.
Lihat posting di bawah:

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via