seismik

Silap Bedung Bayi Boleh Jadi Punca ‘Hip Dysplasia’. Ini 7 Perkara Ibu-Ibu Harus Tahu

Hati-hati ketika membedung bayi anda. Jangan tersilap langkah.

Cover image via Google

Bedung bayi sebenarnya memberikan banyak manfaat. Ia juga merupakan satu langkah untuk membantu bayi melalui hari-hari pertamanya selepas dilahirkan.

Antara manfaat membedung bayi adalah ianya akan memberikan bayi anda rasa lebih selamat. Ini kerana bayi kecil sering kali menghadapi masalah terkejut atau lebih dikenali sebagai startle reflex. Oleh itu, dengan cara membedung bayi, ia akan mengelakkan perkara ini berlaku sehinggalah mereka pandai untuk meniarap.

Bukan setakat itu sahaja, bayi yang baru lahir sering kesejukan. Dengan membedung mereka, ianya mampu memberikan kehangatan sehingga kawalan suhu di tubuh mereka mulai berfungsi.

Namun, cara membedung juga perlu diikuti oleh para ibu bapa di luar sana untuk mengelakkan punca 'Hip Dysplasia'.

Image via Tateh

Baca perkongsian oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Az Hani iaitu salah seorang physiotherapist mengenai cara bedung bayi dengan betul.

Kenapa perlu membedung bayi?

Membedung bayi telah diamalkan dalam masyarakat kita sejak berabad lamanya. Kebanyakannya bersetuju bahawa dengan membedung bayi, ia akan memberi rasa aman kepada bayi. Ada juga yang menganggap bahawa membedung bayi adalah salah satu cara untuk mendapatkan bentuk kaki bayi yang lurus dan tidak ‘kengkang’.

Dr. Nicholas Clarke, melalui Archives of Disease in Childhood menekankan bahawa setiap ibu bapa perlu mengetahui cara membedung bayi dengan betul. Masih ramai yang mungkin kurang sedar mereka melakukan cara yang salah semasa membedung bayi.

Ini merupakan tujuh perkara para ibu perlu tahu tentang cara membedung bayi:

1. Biarkan ada ruang untuk kaki bayi bergerak

Mungkin kebanyakan ibu yang menarik dan menekan kaki bayinya sebelum melilitkan kain bedung kerana mempercayai cara ini mengelakkan kaki bayi ‘pengkar’.

Menurut pakar, apabila kaki dan pinggul bayi tidak bebas untuk bergerak, ia akan meningkatkan risiko bayi terkena hip dysplasia, iaitu gangguan pembentukan sendi pinggul di mana bahagian atas tulang peha tidak berada tepat di soketnya. Untuk jangka masa panjang, ia dapat menyebabkan masalah perkembangan pada persendian kaki dan pinggul bayi.

2. Mengemaskan bahagian atas bedungan adalah PENTING

Sesetengah ibu terlalu memberi perhatian kepada bedungan bawah (bahagian kaki) dan memberi kelonggaran pada bahagian atas. Sebenarnya, cara ini adalah terbalik daripada yang sebetulnya.

Sepatutnya, ibu perlu memastikan lengan bayi dibedung dengan kemas dan terlilit rapi. Hal ini penting kerana bedungan atas yang terlepas tanpa disedari boleh menjadi faktor bayi lemas atau risiko SIDS (sudden infant death syndrome).

3. Pastikan semua keperluan bayi anda sudah dipenuhi sebelum membedungnya

Jika anda mahu membedung bayi, pastikan dahulu bahawa bayi sudah menyusu dan lampinnya tidak basah. Apabila keperluan ini tidak dipenuhi, bayi mungkin akan meragam dan tidak rasa selesa ketika dibedung.

4. Berapa lamakah bayi anda perlu dibedung?

Menurut The American Academy of Pediatrics, bayi sebenarnya tidak perlu dibedung lagi apabila mereka sudah boleh berguling, iaitu sekitar usia 2-3 bulan. Apabila bayi sudah kuat untuk berguling, mereka mungkin boleh tertiarap sendiri tanpa dapat melepaskan lengan, lalu menghalang pernafasan.

Dalam usia ini juga, biasanya refleks ‘terkejut’ atau ‘startle reflex’ akan berkurang dan bayi akan dapat tidur dengan lebih lena.

5. Elak membedung bayi terlalu lama

Namun jika bayi kelihatan tidak selesa dan sukar tidur tanpa dibedung, bolehlah anda terus membedungnya untuk beberapa bulan lagi untuk membantunya tidur. Apapun, elakkan membedung terlalu lama kerana sesetengah sumber berpendapat selepas usia tersebut, bedung mungkin menghalangnya daripada bergerak-gerak dan mengganggu perkembangannya.

Tanpa bedung, skin-to-skin contact antara bayi dan ibu dapat berlaku dengan lebih kerap, lalu membantu mengeratkan hubungan serta memberi rasa selesa kepada bayi.

Image via Sirap Limau

6. Akhir sekali, pilih fabrik yang sesuai untuk membedung bayi

Kini telah terdapat pelbagai produk yang dijual di pasaran khas untuk membedung bayi. Dengan rekaan dan corak yang comel, ibu-ibu mesti rambang mata untuk memilih!

Perlu diingat, faktor penting dalam pemilihan kain bedung ini antaranya adalah kesesuaian fabrik tersebut dengan suhu di negara kita. Pastikan kain tidak terlalu tebal sehingga membuat bayi terlalu panas dan tidak selesa apabila dibedung.

Image via BabyCenter

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Perkongsian menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: