Simpati Lihat Nasib Abang Posmen, Netizen Seru Syarikat Pos Malaysia Naikkan Gaji Pekerja
Kos sara hidup pun tinggi sekarang, berbeza sangat dengan dulu.
Jika anda perasan, musim PKP ini telah menjadikan rata-rata daripada kita lebih 'aktif' untuk membeli barangan secara atas talian
Mana tidaknya, sejak arahan PKP dikeluarkan oleh kerajaan pada 18 Mac lalu susulan pandemik Covid-19, pergerakan setiap daripada kita adalah sangat terbatas dan tidak bebas seperti sebelum ini.
PKP itu juga telah menyebabkan banyak jenis perniagaan termasuk pusat membeli-belah ditutup yang mana ia secara tidak langsung menyukarkan orang ramai untuk membeli barang yang diperlukan mereka.
Jadi, pilihan yang ada hanyalah dengan membeli barangan secara online agar barang tersebut masih boleh dimiliki meskipun pada musim PKP.
Jadi sudah semestinya, golongan yang sangat terkesan susulan daripada peningkatan jumlah pembelian secara online ketika ini adalah pihak kurier ataupun penghantar barangan
Baru-baru ini di Twitter, telah viral beberapa keping gambar yang memperlihatkan kesusahan yang terpaksa dialami oleh 'abang posmen' ketika dalam proses menghantar barang kepada pelanggan.
Menerusi gambar yang telah dikongsikan itu, dapat dilihat situasi di mana posmen tersebut perlu membawa serta menghantar barang yang terlalu banyak kepada pelanggan di musim PKP ini.
Kesusahan yang dialami oleh golongan posmen tersebut secara tidak langsung telah meraih perhatian orang ramai yang turut bersimpati dengan nasib mereka
Mungkin ramai dalam kalangan kita sudah mengetahui bahawa pendapatan gaji bagi mereka yang bekerja sebagai posmen ini adalah tidak tinggi sejak dulu hinggalah sekarang.
Malah sebelum ini, pernah juga individu mendedahkan bahawa pendapatan yang diraih oleh posmen tidak mencecah RM2,000 meskipun sudah 22 tahun berkhidmat.
Melihat kepada kesusahan sebenar yang dialami oleh golongan posmen ketika ini, netizen secara lantang menyeru agar syarikat Pos Malaysia dapat menaikkan pendapatan golongan tersebut, setimpal dengan beban kerja yang dilakukan oleh mereka.