Tak Boleh Telan Makanan Lain, Remaja Hanya Makan Biskut Sejak 16 Tahun Lalu
Difahamkan, dia hanya makan biskut sejak kecil lagi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang remaja dari Ampang, Selangor ini hanya makan biskut sahaja sejak 16 tahun yang lalu
Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Ibaadur Rahman yang berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Ariq Darius tidak mampu menelan makanan lain termasuk nasi. Jika dipaksa, makanan itu akan dimuntahkan semula.
Difahamkan, dia kini tinggal di asrama berkata pada awalnya dia agak malu bercerita dengan rakan mengenai pola pemakanan yang aneh.
"Ketika di sekolah rendah, ramai rakan bertanya mengapa tidak ke kantin. Saya memberi alasan tidak berselera dengan makanan dijual, tetapi lama kelamaan mereka faham dengan keadaan saya," katanya kepada Berita Harian.
Meskipun makanan terhad pada biskut, namun dia tetap aktif di sekolah termasuk dalam bidang sukan terutama badminton dan bola sepak.
Tak terliur tengok makanan lain
Menurut remaja itu, dia tidak terliur melihat makanan yang sering menjadi kegemaran remaja lain seperti burger, aiskrim atau mi segera kerana semuanya tidak mampu ditelan.
"Kalau lapar, cukup untuk saya makan beberapa keping biskut coklat yang lebih enak jika dicicah dengan air," katanya.
Ibunya pula memberitahu, hatinya mula runsing memikirkan keadaan anaknya itu dan pelbagai usaha dilakukan bersama suaminya.
Malah, mereka siap memasak pelbagai hidangan enak termasuk membawa Ariq Darius ke restoran yang biasanya digemari kanak-kanak, tetapi tidak berkesan.
Kembar tidak ada masalah pemakanan
Remaja itu juga mempunyai kembar bernama Aimy Damia Delisha, tetapi kembarnya itu tidak menghadapi masalah untuk menikmati apa saja makanan.
Kata ibunya, ketika Ariq berumur enam bulan, dia terkena penyakit virus susu dan di masukkan ke hospital selama seminggu.
Selepas keluar hospital dia memberi pelbagai jenis makanan seperti kanak-kanak lain, namun makanan itu dikeluarkan semula kecuali susu.
"Satu hari saya menyuapkan biskut yang kebetulan terdapat di rumah. Untuk mengelakkan terlekat di tekak saya cicah dengan susu.
"Saya terkejut dia begitu berselera makan dan tidak muntah seperti makanan lain dan akhirnya ia menjadi makanan utama setiap hari.
"Hati ibu bapa mana tidak resah melihat keadaan anak yang tidak mahu makan kerana bimbang kesihatan pada masa depan.
"Kalau dipaksa makan, dia akan muntah menyebabkan kita pun jadi tertekan dan beberapa kali merujuk kepada doktor.
"Namun doktor beritahu ia adalah perkara biasa pada peringkat awal kerana lama kelamaan ia akan menerima makanan lain. Namun hakikatnya tidak berlaku," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!