seismik

Tembok Besar China Berdiri Teguh, Chong Wei Raih Perak Buat Kali Ke-3

Hanya China yang menghalang Chong Wei daripada pingat emas.

Cover image via Reuters

Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei sekali lagi kecundang kepada pemain dari China di final Olimpik, kali ini dengan pemain nombor dua dunia, Chen Long

Chen Long memenangi pingat emas Olimpik buat pertama kali untuk dirinya apabila berjaya mengalahkan pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei dalam perlawanan akhir dengan straight sets, 21-18 dan 21-18.

Image via Reuters

Chong Wei melangkah ke pentas akhir dengan cukup yakin apabila berjaya menundukkan seteru utamanya, Lin Dan pada peringkat separuh akhir semalam

Image via Reuters

Persembahan Chong Wei menentang Lin Dan memang cukup memberangsangkan. Namun, beliau tidak mempamerkan persembahan yang sama pada perlawanan akhir menentang Chen Long.

Chen Long memulakan kedua-dua set dengan penuh bertenaga. Jelas sekali pemain dari China ini berada pada tahap tertinggi apabila Chong Wei tampak seperti tidak mampu mematahkan serangan bertubi-tubi darinya.

Set pertama dan set kedua berakhir dengan skor yang sama iaitu 21-18 dan 21-18, sekali gus menobatkan Chen Long sebagai juara terbaru untuk Temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Image via Reuters

Ini bermakna, harapan membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara terkubur. Chong Wei terpaksa akur dengan pingat perak buat kali ketiga berturut-turut.

Image via Reuters

Percubaan Chong Wei di temasya Olimpik ketiga dan terakhir buat dirinya masih tidak cukup untuk pemain nombor satu dunia itu membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

Walaubagaimanapun, pencapaian Chong Wei tetap membanggakan. Pada 2014, beliau terpaksa berdepan dengan isu doping, digantung selama 8 bulan daripada bermain, manakala ranking beliau menjunam teruk kepada 180 tahun lalu.

Image via Reuters

Karier Chong Wei berada di ambang pengakhiran apabila beliau gagal melepasi ujian doping semasa menyertai Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Ogos 2014. Sampel air kencing Chong Wei didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone'.

Sehubungan itu, beliau dikenakan hukuman gantung selama lapan bulan! Ranking Chong Wei terus jatuh menjunam dari nombor 1 ke nombor 180 sepanjang tempoh penggantungan. Mentalnya penat, emosinya tidak stabil, dan mungkin beliau tidak akan kembali semula ke gelanggang.

Image via Reuters

Chong Wei dibenarkan beraksi semula pada 1 Mei 2015. Sejak daripada itu, beliau bangkit dan terus menjuarai dua kejohanan pada Jun: Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada di Calgary.

Bulan November pula menyaksikan Chong Wei merangkul kejuaraan Terbuka China. Ranking beliau serta merta melonjak ke kedudukan ketiga dunia!

Chong Wei terus mara dan mara apabila menunjukkan mutu persembahan yang amat luar biasa selepas kembali semula daripada penggantungan. Dan kini, Chong Wei mengungguli semula takhta pemain nombor 1 dunia.

Semangat juang dan kecekalan Chong Wei dalam mengharumkan nama negara memang tiada galang gantinya. Tahniah Datuk Lee Chong Wei! Anda tetap hero kami. :')

Lagi berita sekitar Rio 2016:

You may be interested in: