[TERKINI] Tentera Bakal 'Keluar' Ahad Ini Bagi Bantu Pihak Polis Jalankan Tugas RMO
Kementerian Pertahanan semalam telah memaklumkan bahawa pihaknya mungkin terpaksa menggunakan khidmat tentera jika rakyat Malaysia masih ingkar akan Perintah Kawalan Pergerakan.
Semalam, 20 Mac, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin akan digunakan jika rakyat masih degil
Melihat situasi orang ramai yang masih ingkar akan perintah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri beberapa hari lalu, Kementerian Pertahanan dikatakan bakal menggerakkan tentera mereka bagi membantu pihak polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ini bermula hari Ahad, 22 Mac 2020.
Menurut laporan, usaha ini adalah bagi mengurangkan pergerakan rakyat namun ia bukanlah satu perintah darurat. Kerajaan turut menekankan supaya orang ramai memahami akan sebab atas tindakan yang dilakukan ini.
Datuk Seri Ismail Sabri berkata kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pemantaun rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.
Kita berharap rakyat terus patuh arahan tentera. Dari laporan pihak polis, jelas nampak ada peningkatan dari segi pematuhan rakyat. Kita ucap terima kasih kepada rakyat."
Namun begitu, sehingga hari ini masih ada insiden di mana rakyat tidak memperdulikan arahan pihak kerajaan dan pihak polis
Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa pada peringkat awal ini, mereka hanya akan menasihati dan tindakan berhemah akan dilakukan. Jika sampai tahap tidak boleh kompromi, maka tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap individu tersebut.
Selain itu, Ismail turut menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan
Beliau berkata, "Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, 'posting' dalam Facebook yang mengatakan Menteri Pertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.
"Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya," jelasnya.