Tourism Malaysia & Merchantrade Lancar Kad Prabayar Rasmi Visit Malaysia 2026–2027

Kad prabayar eksklusif ini dilengkapi kemudahan e-Wallet pelbagai mata wang rentas sempadan serta integrasi pembayaran DuitNow QR.

Cover ImageCover image via Merchantrade Money

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi pelancongan negara sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan wang elektronik berlesen terkemuka, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade), bagi melancarkan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia secara rasmi

Majlis pelancaran dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.

Menampilkan reka bentuk identiti ikonik Visit Malaysia, kad prabayar eksklusif ini dilengkapi kemudahan dompet elektronik (e-Wallet) pelbagai mata wang rentas sempadan serta integrasi pembayaran DuitNow QR di seluruh negara bagi memastikan pelancong antarabangsa dan pengembara tempatan menikmati transaksi tanpa tunai yang lancar, selamat dan mudah.

Pelancong asing boleh mendaftar untuk mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia menerusi rangkaian cawangan fizikal Merchantrade di lokasi tumpuan seperti Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall di Sabah, selain turut dipromosikan melalui 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara termasuk di London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.

SAYS.com
Image via Merchantrade Money

Ciri-ciri utama dan keistimewaan kad prabayar Visa Merchantrade Money VM2026–2027:

  • Penerimaan Global & Tempatan: Menyokong sepenuhnya rangkaian pembayaran VISA, imbasan peniaga DuitNow QR di seluruh Malaysia, pembayaran tanpa sentuh menerusi Google Wallet dan Samsung Wallet, serta akses kepada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan deposit tunai (CDM) Visa di seluruh dunia.
  • Rangkaian Ganjaran Peniaga: Menawarkan pelbagai diskaun serta keistimewaan eksklusif di premis rakan kerjasama Tourism Malaysia merangkumi hotel, pusat beli-belah, pengangkutan, makanan dan minuman (F&B), tarikan pelancongan, serta pasar tempatan.
  • Sokongan Pelancongan Domestik: Turut melengkapi kempen Cuti-Cuti Malaysia dengan memudahkan rakyat tempatan menguruskan bajet percutian dalam negara sambil menikmati tawaran peniaga yang mengambil bahagian.

ㅤ

SAYS.com
Image via NSTP/FATHIL ASRI

Mohd Amirul Rizal berkata, sinergi antara sektor awam dan swasta merupakan kunci utama dalam memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan serta mencipta nilai tambah kepada pelawat dan peniaga tempatan.

Sementara itu, Ramasamy K. Veeran menyifatkan pelancaran kad rasmi ini sebagai langkah penting dalam membantu pelancong beralih daripada penggunaan tunai kepada transaksi digital, sekali gus memberikan keyakinan untuk mereka berbelanja secara meluas di premis perniagaan tempatan.

Inisiatif ini tampil seiring dengan prestasi memberangsangkan sektor pelancongan negara yang merekodkan sebanyak 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.

Maklumat lanjut mengenai pendaftaran, ciri kad dan senarai peniaga terlibat boleh didapati menerusi aplikasi Merchantrade Money di Google Play Store dan Apple App Store, atau layari laman sesawang rasmi www.merchantrademoney.com/visitmalaysia/.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik