Usahawan Autistik & ADHD, Nurul Natrah Dinobat Sebagai Juara SAY Lead Selangor Edisi Ke-7
Difahamkan, para peserta telah menjalani beberapa siri kursus dan bimbingan perniagaan sejak Mei lalu.
Cover image via Selangor Youth Community - SAY CommunityFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Golongan orang kelainan upaya (OKU) terus membuktikan keupayaan menyumbang kepada ekonomi menerusi bidang keusahawanan apabila Nurul Natrah binti Aziz @ Awang dinobatkan sebagai juara Liga Usahawan OKU Selangor (SAY Lead) edisi ketujuh
Nurul Natrah, yang merupakan usahawan OKU Autistik dan ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) serta pengasas Gembur Education, muncul pemenang pada pusingan akhir program yang berlangsung di Sunway Resort Hotel baru-baru ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga penaung Selangor Youth Community (SAY) dan SAY Lead, telah mencemar duli menyempurnakan program berkenaan.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Kamal Surin Abdullah, pengasas Nyaman Juice, manakala Farah Hana Faizul dan Fatnin Qistina Firdus, pengasas Loomsydoo Studio, menduduki tempat ketiga.

Lima pemenang utama SAY Lead edisi ketujuh turut layak menyertai SAY Lead+
Pusingan akhir itu mempertemukan 10 usahawan OKU terbaik yang dipilih daripada 20 penyertaan pada peringkat awal program.
Para peserta telah menjalani beberapa siri kursus dan bimbingan perniagaan sejak Mei lalu, meliputi pengurusan kewangan, pembinaan platform digital, pengurusan perniagaan, strategi menjana pendapatan di karnival, serta lawatan industri dan sesi perkongsian alumni.
Program itu bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan OKU melalui latihan dan bimbingan berstruktur, selain membantu mereka mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam sektor ekonomi.
Lima pemenang utama SAY Lead edisi ketujuh turut layak menyertai SAY Lead+, iaitu program bimbingan selama enam bulan yang memberi tumpuan kepada peluasan pasaran, digitalisasi perniagaan, dan akses kepada peluang niaga.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


