[VIDEO] Bunyi Misteri ‘Wanita Menangis’ Dari Ruang Utiliti Kondo Buat Penghuni Seram
Difahamkan, kejadian itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur, bimbang seseorang mungkin berada dalam bahaya.
Cover image via FacebookFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah apartmen di Empire City di Damansara Perdana, Petaling Jaya, mendakwa terdengar bunyi seperti tangisan yang datang dari ruang utiliti berhampiran unit mereka
Menurut pasangan terbabit, kejadian itu berlaku di tingkat 23 bangunan berkenaan pada waktu malam hari Sabtu, 1 Ogos.
Dalam sebuah hantaran yang dikongsi di dalam kumpulan Facebook komuniti Damansara Perdana, yang telah disiarkan semula di media sosial, lelaki itu berkata dia dan isterinya pada mulanya terdengar bunyi pelik sekitar jam 9 malam.
"Kami pada mulanya menyangkanya sebagai bunyi dari paip sebelum keluar untuk makan malam," tulisnya.
Walau bagaimanapun, apabila mereka kembali kira-kira tiga jam kemudian, mereka mendakwa bunyi itu menjadi lebih kuat.
"Kami terdengar bunyi dentuman dan bunyi seperti seorang wanita yang tersembunyi dan menjerit, seolah-olah bertindak balas apabila kami bertanya sama ada dia ada di sana dan bagaimana keadaannya," katanya.

Bimbang seseorang mungkin berada dalam bahaya, pasangan itu bertindak menghubungi polis dan kakitangan keselamatan bangunan
Menurut lelaki itu, pengendali kecemasan 999 memberitahu mereka bahawa tiada tindakan segera boleh diambil kerana tidak jelas sama ada kecemasan sedang berlaku.
Dia menambah bahawa pengawal keselamatan kemudian menghubungi pasukan penyelenggaraan bangunan untuk menyiasat.
Sekitar jam 1 pagi, kakitangan penyelenggaraan dilaporkan memeriksa ruang utiliti di tingkat 23, serta tingkat atas dan bawahnya, dengan membuka pintu akses.
Walaupun pemeriksaan telah dilakukan, pasangan itu mendakwa bunyi itu berterusan didengari.

Pasukan penyelenggaraan akhirnya membuat kesimpulan bahawa bunyi-bunyi itu mungkin datang dari paip bangunan, namun pasangan berkenaan masih tidak yakin akan jawapan diterima
Mereka berkata kali terakhir mendengar bunyi-bunyi itu adalah pada petang Ahad, 2 Ogos, sambil menambah bahawa kejadian itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur kerana bimbang seseorang mungkin berada dalam bahaya.
"Saya seseorang yang sering berada di kawasan tangga sekali-sekala. Satu-satunya bunyi yang pernah saya dengar adalah dari pam air dan lif. Saya tidak pernah mendengar bunyi seperti ini pula sebelum ini, itulah sebabnya kami bimbang," tulis lelaki itu.
Perkongsian tentang perkara ini kemudiannya menjadi tular, dengan beberapa pengguna media sosial membuat spekulasi tentang kebarangkalian paranormal, manakala yang lain berkongsi pengalaman serupa mendengar bunyi-bunyi pelik dari paip bangunan.
Beberapa netizen juga mencadangkan pemeriksaan tambahan untuk menolak kemungkinan seseorang mungkin terperangkap atau berada dalam bahaya.
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


