[VIDEO] "Ingatkan Mat Salleh Mana" - Bos Pos Malaysia Jadi Posmen Sehari Ini Curi Tumpuan
Isterinya merupakan warga Malaysia dan dua orang anaknya turut menetap di ibu negara.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Umum sedia maklum, Charles Brewer kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad sejak 1 Ogos lalu dan kini beliau menjadi perhatian netizen kerana bersikap sporting
Menerusi posting dalam akaun sosial rasmi syarikat berkenaan, beliau yang berasal dari Britain itu tampil 'turun padang' dan bertugas sebagai posmen Pos Laju di sekitar ibu kota.
“Terima kasih kerana sudi memilih Pos Malaysia sebagai rakan kurier anda. Kami bersyukur menerima tiga kali ganda lebih daripada kebiasaan ketika Kempen Jualan 9/9 lalu,” katanya.
Beliau yang berpengalaman 34 tahun memegang pelbagai jawatan penting dalam syarikat kurier terbesar global, DHL berpusat di Jerman itu, malah tidak kekok menghantar bungkusan.
Tambahnya lagi, beliau memang sudah biasa dengan suasana negara ini apatah lagi isterinya, June adalah warga Malaysia serta dua anaknya, Ella dan Henry menetap di ibu negara.
Tonton video penuh yang dimuat naik oleh Pos Malaysia di Facebook baru-baru ini:
Brewer kelihatan ceria memunggah barangan di Pusat Pos Laju Brickfields bersebelahan KL Sentral dan kemudianya menghantar parcel kepada para penerima
Bahkan beliau memasukkan kesemua bungkusan dengan berhati-hati ke dalam van sebelum kenderaan dipandu petugas Pos Malaysia itu membawanya ke beberapa rumah pelanggan.
Ada penerima bungkusan itu yang terperanjat melihat beliau sendiri menyerahkan barangan, namun Brewer, 56, dalam nada bersahaja hanya berkata: “Maaf, saya cuma pekerja baharu.”
Bekas Ketua Pegawai Operasi Pos Kanada dan Ketua Pegawai E-Dagang Pos Jerman itu sebaliknya menganggap reaksi spontan mereka kerana penampilannya ala pelancong Mat Salleh.
Pelanggan terakhirnya pula menetap di tingkat 32 sebuah apartmen, namun beliau tidak keluh walaupun menaiki lif serta tetap optimis rakyat negara ini masih setia memilih Pos Malaysia
Beliau yang memulakan karier sebagai pekerja kurier syarikat DHL pada 1984 ketika berusia 19 tahun itu, menggantikan Syed Md. Najib Syed Md. Noor yang berundur pada 1 Jun lepas.
Pos Malaysia yang ditubuhkan penjajah British pada tahun 1800, asalnya merupakan agensi awam sebelum dikorporatkan sepenuhnya sejak 1992 dan kini mempunyai lebih 20,000 staf.
Ketika ini, syarikat tersebut memiliki sejumlah 692 buah pejabat pos, 159 cawangan pos mini, 71 agen pos bertauliah, 50 premis khas Pos Laju dan dua pusat perkhidmatan pos bersepadu.
Ia juga mempunyai lebih 3,000 peti surat sama ada di dalam dan luar pejabat pos serta ada berusia lebih 200 tahun dengan kebanyakannya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka.