[VIDEO] Jurulatih Anjing Tendang Anjing Pasukan Lawan Di Shah Alam Cetus Kontroversi
Tak perlulah tendang sampai macam tu.
Sejak semalam lagi, sebuah video telah tersebar menunjukkan seekor anjing ditendang oleh seorang pelatih anjing di Shah Alam
Video ini telah dimuatnaik oleh Samantha Loh dan dikongsikan di laman sosial pada hari Sabtu yang lalu. Video ini telah ditonton sebanyak 121 ribu kali dan dikongsi sebanyak 1,743 kali di Facebook.
Pada permulaan klip tersebut, sekumpulan pelatih anjing dilihat sedang berdiri dalam satu barisan bersama anjing mereka dalam ujian kepatuhan. Selepas itu, satu arahan telah diberikan dan pelatih diminta untuk meninggalkan anjing mereka.
Ketika itu, semua pelatih berjalan ke luar skrin dan meninggalkan anjing mereka berada di kedudukan asal mereka.
Namun, tidak sampai beberapa saat selepas ditinggalkan, tiba-tiba seekor anjing mula mengusik anjing lain dan mula bergaduh.
Salah satu daripada jurulatih itu segera masuk ke kawasan pertandingan dan cuba untuk menghalang pergaduhan tersebut.
Kemudian, tercetus satu aksi kontroversi di mana jurulatih terbabit didapati menendang anjing kepunyaan pihak lawannya berkali-kali tanpa mempedulikan khalayak dan juri yang sedang menonton.
Jurulatih berkenaan yang dikenali dengan nama Lee Kong Hoong, 51, berkata beliau bertindak sedemikian demi menyelamatkan anjingnya daripada tercedera
“Sebagai seorang tuan kepada anjing itu, saya berhak bertindak sebegitu untuk menjaga keselamatan haiwan peliharaan saya. Bayangkan jika anak anda diperlakukan sebegitu, pasti anda akan melakukan apa saja tanpa berfikir waras. Yang penting adalah keselamatannya dan juga orang ramai, saya tidak rasa saya melakukan apa-apa jenayah terhadap anjing itu,” kata Lee kepada The Star.
Selepas video ini viral, orang ramai melabel Lee sebagai seorang pendera anjing. Walau bagaimanapun, Lee tidak setuju dengan kenyataan mereka itu.
“Jika saya seorang pendera anjing, saya tidak akan dapat menyertai pertandingan itu dan mengambil bahagian dalam mana-mana acara sukan anjing. Saya telah terlibat dalam kebajikan haiwan dan melatih anjing lebih daripada 10 tahun".
“Jika seekor anjing didera, pasti dia akan melarikan diri dan pergi jauh dari kawasan itu. Namun anjing itu tetap berdegil dan masih menyerang anjing saya,” jelas Lee lagi.
Lee juga mempersoalkan kenapa pihak lawannya tidak membantu dia menghalang pergaduhan antara anjing mereka berdua. Lee mengatakan bahawa dia mempunyai sebab yang kukuh dan munasabah untuk bertindak sebegitu.