seismik

Wujudkah 'Rog*l' Dalam Perkahwinan?

Adakah rogol dalam perkahwinan itu sebenarnya wujud? Ikuti perbincangan dan pandangan NGO serta pakar undang-undang.

Cover image via FMT

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW berdasarkan nas Al-Quran dan hadis, di mana fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempurna dan bahagia

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir lelaki yang menyalahguna kuasa terhadap isteri demi melampiaskan nafsu serakah mereka, hanya kerana bergelar ketua keluarga dan bersifat dominan.

Pernahkah anda mendengar tentang rogol dalam perkahwinan? Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Ramai mangsa yang bertindak untuk berdiam diri kerana berasa takut dan terancam dengan sang suami.

Jadi, kali ini kami akan kongsi dan jelaskan mengenai topik berkenaan dengan lebih terperinci agar para pembaca tahu akan wujudnya situasi sebegini dalam rumah tangga.

Baru-baru ini, kami sempat menemu bual secara lisan bersama badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Sisters In Islam (SIS) mengenai rogol dalam perkahwinan

Menurut SIS, rogol dalam perkahwinan adalah perhubungan seks dengan cara ugutan, paksaan dan tiada unsur persetujuan oleh pasangan suami isteri.

Namun, terdapat pihak yang menolak rogol dalam perkahwinan atas sebab 'hubungan antara lelaki dan perempuan adalah dihalalkan setelah melalui akad ijab dan kabul yang sah'.

Menurut SIS, ini adalah tanggapan yang salah dan memandang rendah realiti yang dihadapi oleh ramai isteri di Malaysia yang terpaksa berhadapan dengan keganasan seksual.

Telenisa iaitu khidmat nasihat perundangan mengenai Undang-undang Keluarga Syariah dan Undang-undang Jenayah Syariah memaklumkan pernah menerima aduan rogol dalam perkahwinan. Jumlah aduan tidak tinggi, berdasarkan Statistik dan Dapatan 2019, hanya satu kes rogol dalam perkahwinan dilaporkan pada tahun 2019.

Seorang mangsa Telenisa mengadu yang suaminya memukulnya beberapa kali ketika bertengkar. Ketika keadaan yang masih tegang, suaminya menjatuhkannya ke bawah dan mula merogolnya.

Suami mangsa tidak berhenti merogolnya walaupun dia menangis dan menolaknya dan ketika dirogol, mangsa menutupi mukanya dengan bantal kerana tidak boleh melihat wajah suaminya.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Negara Merdeka

Sementara itu, seorang doktor pakar pula menjelaskan bagaimana kesan psikologi rogol dalam perkahwinan ini terhadap mangsa daam jangka masa panjang

Menurut Dr Rabiathul Badariah daripada Spot Community Project iaitu badan bukan kerajaan, kesan-kesan yang boleh dialami mangsa termasuk aspek fizikal, emosi, mental dan sosial.

Kecederaan fizikal bermaksud apabila dipaksa, proses hubungan seks tidak berlaku dengan baik. Ia boleh mencederakan organ genitalia dan bahagian badan yang lain. Contohnya, vaginal tear.

Selain itu, mangsa juga berasa malu dan boleh menyebabkan self blaming kerana dipaksa oleh suami sendiri. Perasaan ini boleh menghalang mereka daripada mencari pertolongan.

"Bukan itu saja, mangsa juga boleh mengalami kecelaruan emosi. Mereka akan keliru dan takut bercakap tentang perasaan mereka. Ketakutan ini boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian mereka.

"Seterusnya, sudah tentu mangsa akan jadi trauma dan kemurungan. Ini boleh membawa kepada perasaan sedih yang berpanjangan, putus asa, dan hilang keyakinan diri," katanya.

SPOT Expert, Aktivis Kesihatan, Hak Seksual, Reproduktif & Kemanusiaan, Dr Rabiathul Badariah

Image via SAYS SEISMIK (Facebook)

Jadi, untuk mengelakkan semua ini berlaku, komunikasi yang sihat antara suami dan isteri sangatlah penting.

"Penting untuk kita fokus pada persetujuan dalam setiap aspek perkahwinan, termasuk hubungan seksual kerana isteri bukanlah barang bertuan.

"In Islam, dalam Surah An-Nisa, Al-Quran menyatakan dengan jelas tentang hak wanita dalam perkahwinan, yang menekankan rasa saling menghormati dan berkomunikasi yang sihat.

"Perkahwinan bukan sekadar tentang taat kepada satu sama lain, tetapi tentang kerjasama, hormat-menghormati, kasih sayang dan persetujuan yang tulus. Jadi nilai-nilai murni ni boleh membezakan yang baik dan buruk," katanya lagi.

Kami juga sempat menemu bual seorang peguam yang terkenal di media sosial iaitu Puan Min atau nama sebenarnya Nur Aminahtul Mardiah Md Nor mengenai isu rogol dalam perkahwinan dari segi konteks undang-undang

Menurut beliau, masyarakat zaman sekarang masih pandang ringan atau menafikan kewujudan rogol dalam perkahwinan kerana terma 'rogol' itu sendiri tidak pernah ada definisi.

"Kita tak pernah ada penerimaan sebab ada anggapan masyarakat secara umumnya bila kita dah ada perkahwinan dan ijab kabul itu dah menghalalkan persetubuhan.

"Jadi, pada mereka rogol itu tak adalah sebab halal dah. Kebanyakan orang akan menafikannya tapi sedangkan yang berlaku dalam perkahwinan sekarang adalah ada kekerasan dan paksaan. Bila tak rela bermakna ada rogol. 

"Tapi, disebabkan kita tak ada definisi dan undang-undang jadi masyarakat nampak benda tu sebagai tak mungkin berlaku," katanya.

Peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor

Image via SAYS SEISMIK (Facebook)

Menurut beliau lagi, buat masa ini, rogol dalam perkahwinan belum diiktiraf sebagai jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

"Bawah undang-undang Malaysia, kita ada ada definisi rogol di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan. Tapi definisi rogol ini hanya kepada rogol bawah umur iaitu 16 tahun ke bawah.

"Secara general, tidak ada spesifik rogol dalam perkahwinan. Undang-undang yang kita ada pasal perkahwinan adalah Seksyen 375A. Itu pun sebab mendatangkan kecederaan dan ketakutan bila suami ugut isteri.

"Hukumannya pun rendah, lima tahun penjara saja. Jadi, undang-undang kita masih belum ada sebenarnya. Kita masih belum melindungi sepenuhnya isteri-isteri dalam perkahwinan," katanya.

Sekiranya undang-undang baru digubal, adakah ia termasuk dalam sivil atau syariah? Dan bagaimana ia terpakai untuk orang-orang Islam?

"Kalau mana-mana undang-undang yang dah ada dalam sivil contoh dalam kanun keseksaan, dia tak boleh masuk dalam syariah.

"Maksudnya undang-undang negeri yang merangkumi Islam sahaja tak boleh sama dengan undang-undang sedia ada dalam sivil.

"Jadi, kalaulah undang-undang kita menerima rogol dalam perkahwinan kemudian jadikan sebagai satu kesalahan, maka undang-undang syariah tak boleh dah ambil undang-undang tu. Tapi, sekarang kan tak ada. 

"Jadi bila tak ada, undang-undang syariah boleh meletakkan. Tapi bila tidak ada definisi dan penerimaan, itu yang paling susah. Mana-mana boleh cuba dulu, kalau dah ada dalam negeri, kemudian persekutuan nak buat makanya negeri kena batalkan," katanya lagi.

Jika anda pernah atau menjadi mangsa rogol dalam perkahwinan, ini yang anda perlu lakukan!

Gambar sekadar hiasan.

Image via Malaysia Gazette

"Langkah pertama yang perlu diambil adalah untuk memastikan keselamatan diri mangsa. Jika mangsa berada di dalam keadaan yang bahaya, tinggalkan tempat yang berbahaya tersebut. Hubungilah juga orang dipercayai seperti ahli keluarga atau rakan-rakan yang boleh membantu pada ketika itu.

"Seterusnya, dapatkan sokongan dan bantuan. NGO hak perempuan seperti Telenisa, Women’s Aid Organisation (WAO), All Women’s Action Society (AWAM), Women’s Centre for Change (WCC), Sarawak Women for Women Society (SWWS), Sabah Women's Action-Resources Group (SAWO) dan lain-lain ada menyediakan sokongan kepada perempuan yang menghadapi isu keganasan rumah tangga," kata SIS.

Menurut SIS, antara perkhidmatan yang diberikan NGO ini adalah nasihat perundangan secara percuma dari Telenisa, kaunseling serta panduan untuk melindungi diri daripada WAO, AWAM, WCC, SWWS dan SAWO. Mangsa juga harus mengambil langkah penting iaitu membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan undang-undang.

Jadi, apa pandangan anda? Adakah rogol dalam perkahwinan itu sebenarnya wujud?

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: