Bantu Adik Zetty Kumpul RM1,500 Sebulan Untuk Sembuhkan Penyakit Lumpuhnya
Nur Zetty Shazlily baru sahaja berusia 8 tahun tetapi telah menghidap penyakit lumpuh yang jarang sekali ditemui sejak 5 tahun lalu.
Semalam, seorang pengguna Facebook, Muhammad Ezani memuat naik satu status menyayat hati tentang pengorbanan seorang bapa yang menjual kek muffin demi membiayai kos rawatan anaknya yang lumpuh seluruh badan
Lebih menyedihkan, kek muffin itu tidak mempunyai harga. Ia dijual bergantung kepada keikhlasan orang ramai sama ada ingin membelinya dengan harga yang tinggi ataupun rendah. Semuanya terletak pada tangan si pembeli.
Beberapa keping gambar turut dimuat naik bagi menunjukkan keadaan si bapa ini atau nama penuhnya Muhammad Zakri Saimon. Anaknya, Nur Zetty Shazlily (8) telah menghidap penyakit lumpuh ini sejak 5 tahun lalu.
Sambil menjual kek muffin, Zakri memaparkan keratan akhbar Berita Harian mengenai kisah derita yang ditanggung anaknya itu.
Dalam sekelip mata, status ini mendapat perhatian orang ramai dan telah menjadi viral. Semasa artikel ini ditulis, ia telah mengumpul sebanyak hampir 9,000 shares dalam masa kurang 24 jam selepas dimuat naik.
Difahamkan, anaknya, Zetty menghidap penyakit yang jarang sekali ditemui dan merupakan yang pertama di Malaysia iaitu sindrom Dravet, yang melumpuhkan pergerakan dan sarafnya sejak berusia tiga tahun lebih
Penyakit sindrom Dravet
Punca: Sehingga kini masih belum dikenal pasti
Rawatan: Terapi ais dan fisioterapi
Kos rawatan sebulan: RM1,500
Lebih menyedihkan, dia hanya terbaring kaku kerana lemah di bahagian leher sehingga ke pinggang dan tidak mampu bercakap. Dia sudah 15 kali masuk unit rawatan rapi (ICU) neonatal, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pelbagai rawatan lanjut.
Isteri Zakri, Zahrah Mohd Jamian berkata, ketika berusia tujuh bulan, Nur Zetty sudah dimasukkan ke ICU kerana diserang sawan, selain menjalani pemeriksaan pengimbas pelbagai resolusi (MRI).
“Hati ibu mana tidak sedih melihat anak terbujur di atas katil wad yang penuh dengan mesin elektronik dan wayar berserabut di tubuhnya. Saat itu paling sukar untuk saya terima. Nur Zetty ketika itu masih kecil untuk menerima semua ini."
“Keadaan kesihatan Nur Zetty kian merosot. Sejak menghidap penyakit ganjil ini, Nur Zetty kerap diserang sawan. Setiap kali mendapat serangan penyakit itu, wajahnya bertukar biru, nafas terhenti seketika dan kejang seluruh otot."
“Saya ingin lihat ‘kenakalan’ Nur Zetty semula. Saya terlalu rindu mahu melihat Nur Zetty memunggah baju sudah dilipat. Rindu sangat untuk melihat anak saya menyepahkan rumah,” luah Zahrah.
“Tiga bulan selepas dilahirkan dan selepas mendapat suntikan imunisasi, anak saya bertukar biru dan diserang sawan. Apabila saya bertanyakan doktor, mereka tidak ada jawapan konkrit apa yang menyebabkan anak saya jadi begitu. Malah, selepas insiden itu anak semakin kerap diserang sawan sehingga perlu mendapat rawatan susulan di HKL,” katanya.
Berikutan itu, anak comel berkulit putih ini tidak lagi selincah dulu. Sehinggalah takdir menentukan Nur Zetty tidak boleh berjalan dan bercakap lagi dan lumpuh sarafnya ketika usia tiga tahun. Alam kanak-kanaknya hilang begitu saja.
“Apabila mahu berputus asa, saya kuat semula memikirkan Nur Zetty lahir normal dan pernah berjalan sebelum lumpuh. Setiap hari, saya beritahu Nur Zetty dia perlu kuat semangat. Selagi bernyawa, saya akan kekal di sisinya,” katanya lagi.
Semua keperluan seperti menyuap makan, mendukung ke bilik air, memandikan setiap hari dan menemani anaknya sepanjang hari adalah tugas hakiki yang perlu dilakukan. Apatah lagi serangan sawan setiap hari membuat Zahrah risau untuk meninggalkan anaknya keseorangan.
“Setiap kali Nur Zetty ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Mawaddah di Sungai Besi, hati saya kerap risau jika berlaku apa-apa. Nur Zetty perlu dipantau kerana sawan boleh menyerang pada bila-bila masa,” kata Zahrah.
Demi anak, Zahrah dan suami tekad mengubati anaknya menerusi kaedah moden dan tradisional. Kini, Nur Zetty sedang dalam rawatan terapi ais, di Shah Alam. Zetty dikatakan masih ada harapan untuk sembuh sepenuhnya.
“Cuma, kos terapi ini agak membebankan kami. Nur Zetty perlu dirawat sembilan kali sebulan. Setiap kali rawatan, RM100 perlu dibelanjakan dan tidak termasuk kos urutan serta ubat."
“Kami berusaha kali ini kerana ada tindak balas positif selepas beberapa bulan menerima rawatan. Lagipun, seorang profesor di pusat rawatan ais itu meyakinkan kami, Nur Zetty akan sembuh,” katanya.
Justeru, bagi menampung kos suami yang bekerja sebagai pengawal peribadi, Zahrah membuat mufin dan dijual suaminya di hadapan Maybank di Seksyen 14, Petaling Jaya
Zahrah: “Walaupun ia bukan pendapatan tetap, sedikit sebanyak menampung kos rawatan anak kami. Suami pula akan berniaga dua atau tiga kali seminggu mengikut kelapangan."
Zakri: “Kami memang rapat. Saya tak kisah berniaga dan pada masa sama bekerja. Ketika belum sakit, dia suka sangat dicium. Walaupun dia tidak bercakap, saya akan pastikan berborak dengannya sehingga hari ini."
Hulurkan tangan, ringankan beban. Ayuh sama-sama kita bantu pasangan suami isteri ini dalam membiayai kos rawatan anak mereka, Zetty. Sumbangan kewangan boleh disalurkan melalui nombor akaun yang tertera di bawah:
Semoga tabah menghadapi dugaan Zakri dan Zahrah. Kami pasti orang ramai akan membantu anda. Doa kami semoga Zetty sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan yang normal pada masa akan datang.