Gunakan 5 Tips Mudah Ini Untuk 'Defrost' Daging Dengan Pantas & Selamat. Wajib Tahu!
Lembutkan daging-daging beku dengan cara-cara efektif ini!
Pernah tak, anda ingin memasak lauk daging atau ayam, tetapi malangnya daging anda masih beku. Memang mengecewakan!
Bukan sahaja daging beku mengambil masa yang agak lama untuk defrost, malah terdapat pelbagai cara salah yang berpotensi untuk merosakkan daging anda contohnya seperti menyahbekukan daging di ketuhar gelombang. Cara ini sememangnya mudah tetapi boleh menyebabkan pembahagian haba yang tidak sekata dan merangsang pembiakan kuman.
Dengan tips-tips ini anda tidak perlu lagi risau kerana anda boleh menyahbekukan daging dengan mudah dan selamat.
Tips 1: Letakkan daging bawah air mengalir
Daging yang beku akan menjadi cair dengan lebih cepat jika direndam di dalam air yang mengalir. Pastikan daging disimpan di dalam plastik kedap udara dan air yang mengalir tidak bersuhu panas. Plastik yang bocor atau berlubang boleh menyebabkan daging tercemar dengan kuman.
Walaupun cara ini nampak seperti susah, tetapi cara ini sangat berkesan kerana hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja bergantung kepada saiz daging anda.
Tips ekstra: Tukarkan air rendaman daging setiap 30 minit.
Tips 2: Rendamkan daging dalam campuran air dan cuka
Cuka memang berkesan dalam membantu menyahbekukan daging. Ini kerana asid cuka boleh menurunkan suhu beku. Bukan itu sahaja, cuka juga boleh menjadikan daging lebih tender dengan memecahkan tisu penghubung di daging.
Tips 3: Tindihkan daging dengan periuk
Antara cara yang paling mudah dan pantas untuk menyahbekukan daging ialah dengan mengapitkan daging dengan dua periuk besi. Periuk di bahagian atas pula diisi dengan air suhu bilik.
Cara ini memang sangat berkesan kerana periuk besi merupakan konduktor haba yang baik. Tekanan dari periuk di bahagian atas juga menambahkan luas permukaan daging yang membantu mencepatkan kadar nyahbeku daging.
Tips ekstra: Jika anda tidak mempunyai periuk besi yang banyak, anda juga boleh menggantikan salah satu periuk dengan baking pan.
Tips 4: Rendamkan bersama air bersuhu bilik
Apabila menyahbekukan daging, pastikan anda menggunakan air yang bersuhu bilik atau sejuk. Bukan itu sahaja, penggunaan air panas juga boleh menyebabkan pembahagian haba yang tidak sekata. Contohnya, bahagian luar daging akan menjadi masak manakala bahagian dalam pula masih beku.
Tips ekstra: Elakkan dari menggunakan air panas kerana ia boleh merangsang pembiakan kuman.
Tips 5: Pindahkan daging dari peti beku ke peti sejuk
Langkah ini merupakan cara yang paling mudah tetapi mengambil masa yang lama kerana memerlukan perancangan awal. Daging beku hendaklah dipindahkan ke peti sejuk sehari sebelum daging digunakan. Elakkan dari membekukan daging buat kali kedua setelah daging dinyahbekukan.
Tips ekstra: Daging yang beku juga hendaklah diletakkan di bahagian peti sejuk yang paling bawah sekali untuk mengelakkan air daging menitik dan mencemarkan makanan lain.
Senang sahaja sebenarnya cara-cara untuk menyahbekukan makanan tanpa merosakkan makanan anda! Anda ada cara-cara lain? Kongsi dengan kami di bahagian komen di bawah!
Untuk dapatkan banyak lagi artikel seperti ini, LIKE Facebook Seismik Makan serta FOLLOW kami di Instagram sekarang!