“Ashraf & BCL Sering Senyum Kepada Jiran” - Acha Septriasa Cerita Kebaikan Arwah Ashraf
Sehingga kini, ramai yang memuji kebaikan yang pernah dilakukan oleh arwah Ashraf Sinclair.
Satu hari sudah berlalu, namun begitu, berita kematian arwah Ashraf Sinclair masih hangat dibicarakan oleh setiap orang termasuklah rakan artis yang rapat dengan arwah
Selebriti terkenal yang bertapak di Malaysia dan Indonesia itu telah menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 18 Februari 2020 kira-kira jam 4 pagi selepas terkena serangan jantung.
Allahyarham juga kini sudah selamat disemadikan di tanah perkuburan di San Diego Hills, Indonesia selepas waktu Asar pada hari yang sama.
Foto-foto di bawah menunjukkan kesedihan dan kepiluan yang terpancar di wajah isteri arwah, Bunga Citra Lestari serta anak lelakinya, Noah ketika berada di tanah perkuburan tersebut.
Sayu sungguh rasanya...
Pemergian arwah turut dirasai dan mengundang duka setiap penggiat seni di Malaysia mahupun di Indonesia
Seperti satu perkongsian IG stories yang dimuat naik semalam oleh seorang pelakon dan pengacara terkenal Malaysia, Sazzy Falak. Dia turut meluahkan perasaan sedih setelah kehilangan arwah yang juga rapat dengan dirinya serta suami.
Baca perkongsian penuh di sini.
Susulan itu, seorang lagi penyanyi dan pelakon terkenal di Indonesia, Acha Septriasa turut memuat naik sebuah posting untuk berkongsi kenangan dan perkara tentang arwah yang tidak diketahui ramai
Dalam perkongsian di atas, Acha meluahkan bahawa dia seolah-olah tidak percaya atas pemergian arwah Ashraf. Dia turut berdoa supaya amal ibadah dan kebaikan arwah selama hidupnya akan selalu menjadi ladang pahala terbesar buat dirinya.
Selain itu, Acha menjelaskan bahawa selama di Kuala Lumpur, dia sering mendengar rakan-rakan ibu bapanya di pejabat yang merupakan jiran kepada Ashraf dan BCL berkata bahawa pasangan ini memang tidak banyak bercakap namun mereka berdua akan sentiasa tersenyum jika lalu di depan rumah ketika ingin pergi ke masjid.
Acha turut menegaskan bahawa apa yang didengari itu adalah sejujurnya, bukan rekaan semata-mata. Seterusnya, Acha berterima kasih kepada kedua pasangan ini kerana telah menjadi inspirasi untuk keluarga muda. Walaupun dirinya masih bersedih, dia memberitahu dalam perkongsian itu bahawa dia akan senantiasa ada untuk BCL, terutamanya pada waktu seperti ini.
Aktor filem Gol & Gincu ini mempunyai sifat kurang bercakap namun arwah dikatakan seorang yang peramah dengan orang sekeliling
Semoga rohnya dicucuri rahmat, Amin YRA.