Aston Villa Dinobat Juara UEFA Europa League, Tamatkan Kemarau Trofi 30 Tahun
Aston Villa tamatkan kemarau trofi major selepas tewaskan SC Freiburg di final.
Cover image via PLFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Aston Villa berjaya akhiri penantian 30 tahun untuk menjulang trofi major selepas menewaskan SC Freiburg 3-0 dalam final Liga Europa awal pagi tadi
Menerusi laporan Berita Harian, jaringan Youri Tielemans, Emiliano Buendia dan Morgan Rogers berjaya memastikan Villa meraih trofi major pertama sejak menjuarai Piala Liga Inggeris pada tahun 1996.
Kejayaan itu turut menandakan trofi Eropah pertama buat Villa sejak muncul juara Piala Eropah pada tahun 1982 menewaskan Bayern Munich di final.
Villa membuka tirai jaringan pada minit ke-41 menerusi rembatan voli rendah Tielemans hasil umpanan Rogers.
Gol kedua muncul beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama apabila Buendia melepaskan rembatan lencong kaki kiri dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Freiburg, Noah Atubolu.
Rogers melengkapkan malam gemilang Villa pada minit ke-58 selepas mudah menyudahkan hantaran rendah Buendia di depan gawang.

Sebuah lagi kejayaan Unai Emery di dalam kempen Liga Europa
Pengendali Villa, Unai Emery, terus melakar rekod baik sebagai pakar dalam kejohanan itu apabila meraih gelaran Liga Europa buat kali kelima sepanjang kariernya.
Emery telah memenangi trofi berkenaan tiga kali bersama Sevilla dan sekali ketika mengendali Villarreal.
Kemenangan berkenaan turut menyaksikan Emery berjaya menyamai rekod lima trofi Eropah milik pengurus terkemuka lain iaitu Carlo Ancelotti, Jose Mourinho dan Giovanni Trapattoni.
Freiburg yang memburu trofi utama pertama dalam sejarah 122 tahun kelab itu gagal memberi tentangan hebat apabila hanya mencatat empat percubaan berbanding 17 dilakukan Villa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


