Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Akan Diagih Mulai Esok, Dikreditkan Menerusi MyKad
Penerima manfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad masing-masing di kedai-kedai runcit berdaftar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diagihkan mulai esok
Ia membabitkan peruntukan RM13 bilion seperti yang diluluskan kerajaan menerusi Belanjawan 2025.
Bantuan SARA diagihkan bermula esok akan dibayar menerusi penggunaan MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Bermula tahun ini juga, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri di Semenanjung pada tahun 2024.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan, berkata kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun lalu.
"Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025, manakala mulai April ini, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan," katanya.
SARA memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas
Dalam pada itu, di bawah program SARA, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
"Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada makanan asas," kata kenyataan itu.
Bagi kategori isi rumah, tambahan sumbangan SARA adalah sebanyak RM100 sebulan.
Golongan warga emas tiada pasangan akan menerima sumbangan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan.
MOF juga menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk maklumat mengenai program berkenaan.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my mulai esok.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!