Bekas Suami Yang Gagal Membayar Nafkah Bekas Isteri & Anak Bakal Dikenakan Sekatan Bank
Ingat tu, nafkah perlu dibayar ya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya bersama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) mengadakan perbincangan bagi melaksanakan tindakan untuk bekas suami yang gagal membayar nafkah
Usaha ini juga bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar terhadap perintah pihak mahkamah.
Menurut laporan, Datuk Seri Mujahid juga mengatakan bahawa ramai kalangan wanita yang tidak diberikan keadilan oleh bekas suami dari sudut nafkah yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah syariah.
Menurutnya lagi, perkara ini juga telah selesai dibincangkan diperingkat JKSN dan juga diperingkat kementerian. Beliau juga berharap supaya penguatkuasaan itu akan dipertingkatkan termasuk melibatkan isu sekatan bank untuk mereka.
Namun begitu, pihak mereka juga memerlukan sedikit autoriti untuk membuat tindakan ke atas suami-suami yang sukar/liat untuk membayar nafkah kepada bekas isteri dan juga anak-anak.
Tegasnya lagi bahawa, keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah syariah apabila ditentukan perlu dibayar dan tidak seharusnya diambil mudah oleh individu yang terlibat di luar sana.
Kebanyakan bekas isteri tiada tempat untuk mengadu dan terdapat kelemahan dari segi penguatkuasaan. Oleh itu, saya berharap penguatkuasaan juga mesti ditumpukan kepada soal keluarga di mana wanita-wanita yang diceraikan tidak mendapat hak mereka kerana sikap bekas suami yang tidak bertanggungjawab.