Cabaran 30 Hari, Mizz Nina Ajak Wanita-Wanita Semua Berhijab Ramadan Ini!
Bukan paksaan, sekadar percubaan.
Tahun 2019 bermakna sudah genap 6 tahun, bekas penyanyi, Mizz Nina memilih untuk mengenakan hijab
Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Binti Azman, telah memuat naik satu posting menerusi laman Instagram meluahkan rasa kesyukuran dan bangganya mengenakan hijab.
Tambahnya lagi, keputusannya untuk berhijab adalah diatas pilihannya sendiri sebagai seorang Muslim yang patuh dan cinta akan Allah SWT. Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa semua wanita harus berasa bangga mengenakan hijab kerana ia adalah identiti seorang wanita Muslim.
Mizz Nina sememangnya menjadi idola kepada ramai orang berikutan kisah penghijrahannya yang telah membuka mata dan mengagumkan semua.
Meskipun tidak lagi menyanyi, namun isteri kepada vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh itu tetap aktif terutamanya dalam aktiviti kemanusiaan selain kerap kali dijemput menjadi jurucakap untuk memberi motivasi dan kesedaran kepada masyarakat serta dalam program berbentuk dakwah Islam.
Baru-baru ini Mizz Nina telah menunjukkan tanda sokongannya terhadap inisiatif yang dianjurkan akaun @worldhijabday dengan berkongsikan semula satu 'posting' berkenaan Cabaran Hijab 30 Hari sepanjang bulan Ramadan ini
Selain daripada mengimarahkan lagi bulan Ramadan, antara tujuan cabaran ini dilakukan adalah bagi membanteras gejala Islamophobia di kalangan masyarakat dunia.
Lebih menarik lagi, cabaran ini bukan sahaja terbuka untuk wanita yang beragama Islam sahaja, bahkan penganut agama lain juga dialu-alukan untuk mengambil bahagian bagi merasai sendiri pengalaman memakai hijab.
Sesiapa yang menyahut cabaran ini juga diminta untuk memuatnaik gambar mereka beserta dengan hashtag #Hijab30 untuk berkongsi pengalaman mereka memakai hijab sepanjang bulan Ramadan.
Ramai netizen yang menyokong cabaran ini malah terdapat beberapa pengguna Instagram yang berkongsi pengalaman mereka memakai hijab di ruangan komen posting tersebut.
Antara komen-komen netizen:
Semoga inisiatif murni ini mendapat sokongan dan penyertaan daripada ramai wanita di seluruh dunia.
Jom berhijab di bulan Ramadan ini!